MANJUNG – Seorang lelaki yang ditemui rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Taman Muhibbah 2, Sitiawan awal pagi tadi, dipercayai dibunuh sebelum kediaman berkenaan dibakar.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, hasil siasatan yang dijalankan mendapati saksi kejadian ada melihat seorang lelaki dikenali memasuki kediaman berkenaan.

Menurut Hasbullah, saksi tersebut berkata dia seterusnya mendengar bunyi hentakan di ruang tamu kediaman mangsa.

“Suspek kemudian dilihat keluar dari rumah dan kembali semula dengan membawa dua bekas mengandungi cecair disyaki petrol.

“Suspek lelaki tersebut meninggalkan rumah berkenaan sebelum saksi menyedari berlakunya kebakaran,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Hasbullah berkata, bertindak atas maklumat yang diterima pihak pihak polis berjaya menahan suspek berhampiran lokasi kejadian pada hari sama.

Ujar beliau suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 1 Oktober depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Bedah siasat ke atas mangsa akan dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, hari ini,” katanya.

MG Perak sebelum ini melaporkan seorang lelaki rentung manakala tujuh ahli keluarganya terselamat dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Taman Muhibbah 2, Sitiawan, di sini, awal pagi Rabu.

Mangsa dikenali Muhammad Khairul Ridzuan Muhamad Taib, 46, ditemui dalam keadaan rentung di bahagian ruang tamu rumah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kejadian diterima pasukan bomba pada jam 2.40 pagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Seorang rentung, tujuh lagi selamat dalam kebakaran rumah

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here