Gambar hiasan

Oleh: Shah Mohd Akmal Abdul Halim

MENTERI Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, semasa menggulung perbahasan Perhimpunan Agong UMNO pada 24 Ogos 2024 yang lepas, menghujahkan bahawa aspek kesiagaan digital sedang menjadi antara fokus strategik Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Selain menggunakan pentas politik orang Melayu terbesar untuk menyatakan komitmen tersebut, Menteri Pertahanan sebenarnya telah turut beberapa kali menegaskan perkara yang sama dalam platform lain sebelum ini.

Ini termasuklah semasa sesi menjawab Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, pelancaran Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan (KPP) dan Syarahan Menteri kepada Penjawat Awam di INTAN pada 25 Jun yang lalu.

Malah, beliau pernah menyatakan secara terbuka bahawa Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serius dalam mengenal pasti ‘hackers’ atau penggodam untuk menyertai pasukan ATM.

Tanggapan pertama yang muncul apabila mengikut segala kenyataan dan penegasan sebegitu adalah, betapa perkara tersebut sangat bersifat teoretikal dan ‘terlalu jauh’ daripada realiti.

Ia seperti terlalu imaginatif dan sangat bersifat sangkaan atau andaian yang hanya bersandarkan kemungkinan.

Namun, apabila kita melihat perkembangan baru-baru ini yang melaporkan tentang serangan Israel ke atas Lubnan oleh rejim haram Israel menggunakan alat peranti ‘pagers’, adalah jelas bahawa peperangan siber bukan lagi bersifat sekadar ancaman dari segi teori atau sekadar ‘kemungkinan’.

Tetapi sudah menjadi realiti. Ia sudah berlaku dan sedang mengancam semua pihak sekali gus mesti diberikan perhatian serius.

Jumlah korban yang mencecah 3 ribu orang dan pertikaian mengenai syarikat pembekal alat peranti yang mengheret pemain industri dari Taiwan menunjukkan bahawa peperangan di dalam domain siber adalah sangat canggih, kompleks dan jauh berbeza dengan ancaman tradisional yang kita ketahui selama ini.

Sebenarnya sudah terdapat banyak penyelidikan dan bukti yang menunjukkan ancaman siber dan serangan digital membawa kemudaratan yang merentas aspek ekonomi, tadbir urus serta pertahanan negara.

Satu rencana bertajuk Rising Cyber Threats Pose Serious Concerns for Financial Stability oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bertarikh 9 April 2024 mendedahkan banyak perkembangan yang membimbangkan.

Antaranya, serangan siber diperhatikan telah meningkat lebih dari dua kali ganda sejak pandemik dengan kesan yang pelbagai kepada syarikat-syarikat di seluruh dunia.

Agensi penarafan kredit A.S., Equifax misalnya, didapati telah terpaksa membayar lebih daripada AS$1 bilion sebagai penalti ekoran kebocoran data besar pada tahun 2017 yang mempengaruhi sekitar 150 juta pengguna.

Dalam Laporan Kestabilan Kewangan Global April 2024 pula, IMF melaporkan bahawa risiko kerugian ekstrem akibat serangan siber semakin meningkat.

Kerugian tersebut berpotensi menyebabkan masalah pembiayaan kepada syarikat-syarikat dan dipercayai mampu menggugat kemampuan mereka untuk bertahan.

Jumlah kerugian ekstrem ini telah meningkat lebih daripada empat kali ganda sejak 2017 dan mencecah sehingga USD2.5 bilion. Itu belum lagi kita membincangkan kesan-kesan serta kerugian tidak langsung seperti kerosakan reputasi atau tahap kepercayaan pelanggan yang menjunam.

Armada Siber

Adalah tidak pelik jika pemfokusan kepada keupayaan dan pengukuhan pasukan siber dalam ekosistem pertahanan sesebuah negara dilihat telah menjadi trend dan perhatian semua pihak termasuklah negara-negara jiran kita sejak awal dekad ini.

Kewujudan sebuah Armada Siber yang lengkap dan berkeupayaan sudah pasti membolehkan pasukan pertahanan negara bertindak balas dengan lebih efektif terhadap sebarang ancaman yang timbul dalam ruang siber.

Namun, satu perkara yang mesti diteliti dengan serius adalah keberkesanan pemodenan sesebuah pasukan tentera atau pertahanan turut bergantung kepada kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan institusi penyelidikan.

Perkongsian berhubung perkembangan dan teknologi terkini oleh banyak pihak akan membolehkan Kerajaan mempertimbang dan menilai strategi terbaik dalam membangun dan mengukuhkan pasukan pertahanan negara.

Malah, penyertaan delegasi MINDEF yang diketuai sendiri oleh Dato Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Responsible A.I. In Military Domain (REAIM) Summit di Seoul, Korea Selatan bulan ini sudah pasti lebih menjawab keperluan untuk negara kita melakukan persediaan yang sewajarnya. Yang pasti, tindakan Menteri Pertahanan untuk memberi perhatian serius ke atas usaha membangunkan satu ketumbukan siber yang berkeupayaan nampaknya bukanlah sesuatu yang terlalu imaginatif atau jauh dari realiti semasa.

Memandangkan ancaman siber dan elektromagnetik ini semakin ‘real’ dan sudah menjadi satu keperluan yang semakin kritikal, sudah pasti masyarakat dan negara sangat mengharapkan agar segala usaha yang telah dan sedang dilakukan oleh MINDEF ini akan membuahkan hasil yang disasarkan. Bak kata pepatah, kita mesti sediakan payung sebelum hujan. Jangan sampai sudah terhantuk, baru tengadah.

Penulis sedang mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia dan merupakan pensyarah sambilan di Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan, Universiti Utara Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast