Hamzah (dua dari kanan) bercakap pada sidang media di IPD SPS hari ini.

NIBONG TEBAL – Polis Pulau Pinang mengesahkan menerima laporan daripada seorang Senator dari negeri ini berhubung dakwaan fitnah terhadapnya yang memaksa pengawal peribadinya memakan daging khinzir.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 38 tahun itu, 8.31 malam semalam.

Jelas beliau, berdasarkan laporan pengadu dia mendakwa menerima panggilan daripada seorang wartawan yang mendakwa pengawal peribadinya membuat laporan polis susulan dipaksa memakan daging khinzir.

“Susulan itu, senator berkenaan membuat laporan bagi menafikan tuduhan tersebut.

“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati tiada sebarang laporan dibuat oleh pihak berkaitan berhubung isu tersebut di mana-mana balai polis di seluruh negara.

“Kita akan memohon Order to Investigate (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk meneruskan siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di sini, hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here