Foto: IPD Nilai

SEREMBAN – Pemandu lori membawa muatan pasir yang terbabit dalam kemalangan maut melibatkan lima kereta lain dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Persiaran Golf, Nilai semalam didapati positif dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, DSP Mat Ghani Lateh berkata, berdasarkan ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap lelaki berusia 30 tahun itu mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Lelaki berkenaan kini direman selama empat hari sehingga 1 Okt ini bagi melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3.45 petang semalam, seorang wanita berusia 31 tahun maut akibat tersepit dan empat lagi cedera manakala pemandu lori dan empat mangsa lain yang terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Siasatan awal mendapati insiden berlaku selepas lori dipandu lelaki berkenaan hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar lima kereta yang sedang berhenti di lampu isyarat merah. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here