Hafizzudin dan Nurarissa selepas mengundi di pusat mengundi di SA Gunung Lambak, Kluang, hari ini. oto SADIQ SANI, 27 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Kesibukan majlis persandingan yang berlangsung hari ini, bukan penghalang sepasang pengantin baharu dari Kampung Melayu, di sini, menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ketibaan kedua-dua mempelai di pusat mengundi dengan baju gaun putih dan kod coklat mendapat perhatian petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pengundi lain.

Pasangan pengantin terbabit, Mohammad Hafizzudin Anaffiah dan Nurarissa Shazni Kamal yang kedua-duanya berusia 27 tahun tiba di Sekolah Agama (SA) Gunung Lambak pada pukul 3.40 petang.

Menurut Nurarissa Shazni yang merupakan tukang jahit sambilan, mereka tidak merancang untuk melangsungkan perkahwinan pada tarikh yang sama dengan PRK DUN Mahkota.

“Kita memang tidak rancang dan tarikh perkahwinan kami juga tidak menganggu mana-mana dewan kerana majlis berlangsung di rumah di Kampung Melayu.

“Memang kami nak ada kenangan dan teruja sebab majlis berlangsung sama tarikh dengan PRK DUN Mahkota,” katanya ditemui di sekolah tersebut selepas membuang undi.

Nurarissa Shazni berkata, dia menunaikan tanggunngjawab tersebut selepas majlis persandingan selesai pukul 3 petang.

“Sebenarnya agak letih juga hendak ke sini sebab baru selesai majlis tetapi kami sangat teruja dan  selepas ini (mengundi) akan terus ambil gambar outdoor pula,” ujarnya.

Sementara itu, Mohammad Hafizzudin berkata,  dia terlebih dahulu mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tengah pada pukul 12 tengah hari.

Dia yang bekerja sebagai Eksekutif Operasi di sebuah syarikat swasta berkata, tarikh majlis perkahwinan mereka sudah ditetapkan sejak Mac lalu.

Dia bersyukur kerana majlis berlangsung dengan lancar dan hubungannya dengan isteri yang dikenali sejak di bagku sekolah semasa tingkatan tiga berakhir di jinjang pelamin.

PRK DUN Mahkota menyaksikan persaingan antara calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah dengan Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here