Bayi yang dilahirkan pada tarikh Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Hospital Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Seorang bayi yang lahir pada 2024 secara purata dijangka hidup sehingga 75.2 tahun.

Secara purata, seorang bayi perempuan dijangka boleh hidup sehingga 77.8 tahun, 4.8 tahun lebih lama berbanding bayi lelaki pada 73.0 tahun, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Menurut laporan Jadual Hayat Ringkas, Malaysia, 2022-2024, jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut negeri bagi tempoh 2022 hingga 2024 dicatatkan di Selangor, manakala Terengganu mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah pada tempoh yang sama.

Terdapat tiga negeri yang mempunyai jangkaan hayat melebihi jangkaan hayat paras nasional pada tahun 2024 iaitu Selangor, Labuan dan Kuala Lumpur.

“Jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut daerah pentadbiran pada tahun 2024 dicatatkan di Petaling, Selangor (80.2 tahun) manakala Samarahan, Sarawak mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi tahun 2023 (79.6 tahun) dan 2022 (79.5 tahun).

“Manakala Kuala Penyu, Sabah mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah bagi lelaki dan perempuan bagi tempoh 2022-2024,” katanya.

Secara keseluruhan, 31 daripada 156 daerah melepasi jangka hayat di peringkat nasional.

Jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki di Samarahan, Sarawak (79.6 tahun) dan perempuan di Petaling, Selangor (82.1 tahun).

Bagi tempoh 2014 hingga 2019, jangkaan hayat ketika lahir meningkat 0.3 tahun dengan lelaki meningkat 0.1 tahun dan perempuan, 0.4 tahun.

Walau bagaimanapun, bagi tahun 2020 hingga 2022, jangkaan hayat ketika lahir menurun 0.9 tahun dengan jangkaan hayat ketika lahir bagi lelaki menurun 1.0 tahun manakala perempuan menurun 0.8 tahun.

Bagi tahun 2023 hingga 2024, jangkaan hayat ketika lahir mencatatkan peningkatan sebanyak 1.2 tahun.

Peningkatan jangkaan hayat ini disebabkan jumlah kematian pada tahun 2023 dan 2024 telah berkurangan berbanding 2021 dan 2022 yang mana berlakunya lebihan kematian semasa pandemik Covid-19.

Seorang lelaki yang mencapai umur 15 dan 60 tahun pada 2024 masing-masing dijangka hidup selama 58.8 tahun dan 18.6 tahun lagi bermakna, lelaki yang
berumur 15 dan 60 tahun pada 2024 masing-masing dijangka hidup sehingga 73.8 tahun dan 78.6 tahun.

Sebaliknya, wanita dalam kumpulan umur yang sama dijangka hidup selama 63.4 tahun dan 21.4 tahun lagi, iaitu dengan jangka hayat masing-masing 78.4 tahun dan 81.4 tahun.

“Etnik Cina terus mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir tertinggi pada 2024 iaitu 77.1 tahun. Sebaliknya, jangkaan hayat ketika lahir terendah dicatatkan oleh
etnik India, 71.7 tahun pada tahun yang sama.

“Di peringkat negeri, Labuan mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi etnik bumiputera Lain, Cina dan India kecuali Melayu berbanding negeri lain pada tahun 2024,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here