Logo Lembaga Hasil Dalam Negeri

KUALA LUMPUR- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menegaskan tidak pernah memberi layanan istimewa kepada syarikat mahu pun individu berkaitan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Menurut agensi itu, kenyataan Ketua Polis Negara yang mengatakan “GISBH tidak pernah membayar cukai berkaitan” adalah merujuk kepada Tahun Taksiran terkini, dan bukannya tahun taksiran telah diaudit.

Jelasnya, bagi tahun-tahun taksiran yang telah diaudit, syarikat-syarikat dan individu yang berkaitan dengan GISBH sudah dikenakan kompaun.

Malah penalti yang dikenakan telah pun dibayar pembayar cukai berkenaan.

“Tindakan pendakwaan dan penalti di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 akan diambil terhadap mana-mana pelanggaran peruntukan undang-undang yang berkaitan.

“Justeru itu, usaha-usaha membanteras ketidak patuhan cukai akan terus dilakukan oleh LHDN agar dapat memberikan keadilan kepada semua pembayar cukai yang patuh sekali gus mengelakkan ketirisan hasil negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kerjasama LHDN dengan PDRM adalah bertujuan untuk melengkapkan siasatan berdasarkan kepada maklumat dan penemuan baharu yang ada kaitan dengan isu percukaian bagi tahun taksiran terkini.

Tambah agensi itu, lebih 60 semakan audit telah dijalankan oleh LHDN terhadap GISBH, syarikat-syarikat serta individu yang berkaitan dengannya bagi tahun-tahun taksiran terdahulu.

Pemantauan terhadap pematuhan cukai GISBH, syarikat serta individu yang berkaitan juga dijalankan secara berterusan seperti mana pembayar cukai yang lain.- MalaysiaGazette

 

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here