KUALA LUMPUR – Semua masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan disarankan untuk mengadakan solat hajat mendoakan kesejahteraan rakyat Gaza, Lubnan, Syria dan Yaman yang diuji dengan peperangan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, program itu akan diadakan bermula malam ini selepas solat Isyak sehingga Jumaat.

“Inisiatif ini bagi menzahirkan keprihatinan umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan mendoakan serangan rejim Israel terhadap negara Islam itu dihentikan.

“Ia juga berdasarkan saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berikutan tragedi serangan berterusan yang dilancarkan oleh rejim Israel.

“Kami juga merakamkan ucapan takziah dan turut bersimpati terhadap mangsa serta seluruh ahli keluarga yang terlibat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah Mohd Ajib, Jawi mengecam sekeras-kerasnya tindakan serangan itu kerana mencetuskan lebih banyak kemusnahan harta benda dan mengorbankan nyawa rakyat tidak berdosa.

“Doa dan munajat yang dikirimkan adalah salah satu inisiatif berterusan berharap serangan dan peperangan yang membawa kehancuran itu segera dihentikan,” ujarnya,

Sejak 7 Oktober tahun lalu, selepas siri serangan ke atas Gaza, Palestin, rejim Zionis melancarkan serangan udara kepada Lubnan sejak awal pagi Isnin.

Serangan pertama Israel ke atas Lubnan dilaporkan pada jam 6.30 pagi waktu tempatan melanda kawasan tidak berpenghuni berhampiran Byblos utara Beirut.

Sehingga kini, serangan udara Israel ke atas Beirut tertumpu di bahagian selatan bandar itu iaitu di kawasan yang padat dengan penduduk dan terdiri daripada golongan Syiah yang juga kubu kuat Hezbollah. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here