Joriah ditemui berjalan seorang diri dalam cuaca panas di tepi jalan sebelum diselamatkan dan dibawa ke Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Johor Bahru

JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga emas gelandangan diselamatkan orang ramai selepas dipercayai dihalau ahli keluarganya sebelum dibawa ke Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan di sini.

Joriah Abdul Hamid, 85, diselamatkan pada Jumaat lalu ketika berjalan seorang diri dalam cuaca panas di tepi jalan kawasan Kempas di sini sebelum diserahkan ke Balai Polis Kempas.

Anggota balai polis terbabit kemudian merujuk warga emas tersebut ke pusat jagaan berkenaan.

Pegawai operasi Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Mohamad Saifullah Zolkanain berkata, wanita itu menyatakan sebelum ini pernah tinggal bersama-sama anak keduanya di Taman Bukit Kempas.

“Kami difahamkan pihak polis membawa warga emas itu ke rumahnya mengikut alamat dalam kad pengenalan.

“Namun rumah berkenaan berkunci dan beberapa beg pakaian wanita itu diletakkan di luar rumah.

“Kami difahamkan anggota polis mengambil semua beg milik wanita itu ke balai polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita.

Mohamad Saifullah berkata, pihak polis menghubungi pusat jagaan tersebut bagi memohon bantuan penempatan sementara untuk warga emas itu.

Katanya, warga emas itu memaklumkan sudah kematian suami yang sebelum ini merupakan bekas pesara kerajaan.

“Dia masih waras, sihat tubuh badan dan mampu mengurus diri sendiri serta menyatakan dia memiliki tiga cahaya mata.

“Dia bagaimanapun tidak menunjukkan minat untuk pulang ke pangkuan keluarga dan menyatakan mahu tinggal di rumah kebajikan,” katanya.

Pihaknya berharap waris warga emas itu tampil ke pusat jagaan berkenaan bagi membincangkan berkaitannya.

Tambahnya, orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan waris warga emas berkenaan boleh menghubungi kami di talian 072326415.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here