BANGI – Seorang penjawat awam yang memegang lesen B2 antara individu pertama bagi Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/ B1 kepada LMM Kelas B.
Afifi Anuar, berusia lingkungan 30-an yang menetap di Klang, Selangor berkata, dia amat teruja apabila layak menyertai program berkenaan yang mula dilancarakan hari ini.
“Program hari ini buatkan saya rasa teruja sangat dan sejak awal pagi tadi, saya sudah menjalani latihan selama dua jam sebeum mengambil ujian.
“Alhamdulilah, saya hanya sekali sahaja ambil ujian dan saya lulus walaupun ada rasa gemuruh selepas kira-kira 20 tahun saya ambil semula lesen motosikal.
“Mulanya saya ingat susah cuma cabarannya melalui ujian titi agak sukar, namun ia mudah sebenarnya. Saya gunakan pengalaman berulang- alik dari rumah di Klang ke tempa kerja di Bangi.
“Jadi pengalaman ini membantu saya untuk membawa motosikal berkuasa tinggi ini untuk lulus dalam ujian pada hari ini,” katanya pada pemberita.
Afifi berkata demikian selepas selesai menjalani ujian litar bagi Program Khas Peralihan LMM Kelas B2/B1 kepada LMM Kelas B di sebuah institusi memandu di sini hari ini.
Ujarnya lagi, walaupun masih belum memilik motosikal berkuasa tinggi, namun dia mahu mengambil peluang dalam program tersebut yang kadar bayaran hanya RM160 sahaja.
“Sebelum ini, saya tiada masa dan peluang untuk mengambil lesen ini dan apabila layak dengan menepati semua syarat ditetapkan, saya terus mendaftar kerana bayaran yang murah.
“Ia sekaligus membuatkan saya tidak berfikir panjang untuk mengambil lesen ini dan apabila lulus ujian, pastinya saya bangga kerana memiliki lesen B penuh,” jelasnya dalam nada yang gembira.
Pada masa sama, Afifi juga berhasrat untuk membeli motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Z1000 pada tahun hadapan untuk dia berulang-alik dari Klang ke Bangi.
Dia juga menyarankan kepada golongan kurang berkemampuan dan mereka yang menepati syarat untuk merebut peluang menyertai inisiatif pelaksanaan memiliki LLM Kelas B.
“Saya berterima kasih kepada kerajaan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas perlaksanaan program ini yang mengenakan kadar bayaran rendah.
“Ia sekali gus membolehkan golongan berpendapatan rendah yang layak mendaftar dalam program ini mendapatkan LMM Kelas B,” ujarnya. – MalaysiaGazette