Remaja yang disangka hilang.

KUALA LUMPUR – Polis menafikan dakwaan bahawa pihaknya enggan menerima laporan berhubung seorang remaja yang disangka hilang dalam tempoh 24 jam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superitendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya telah mengesan hantaran tular berhubung perkara itu di aplikasi X pada jam 2.24 petang tadi.

“Hasil siasatan mendapati, laporan polis telah dibuat tiga jam 11 minit selepas remaja terbabit gagal dihubungi ibunya di Balai Polis Kuang.

“Ini membuktikan bahawa pihak polis telah menerima laporan kurang daripada tempoh 24 jam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, ibu mangsa juga telah menghebahkan  perkembangan remaja itu menerusi media sosialnya namun belum hadir ke balai polis bagi membuat laporan atau pengesahan.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati menyebarkan sebarang bentuk kenyataan dalam bentuk tidak benar atau palsu.

“Tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” tegasnya.

Sebelum itu, pemilik akaun X dikenali sebagai Aminahtul Mardiah memaklumkan tentang kehilangan seorang remaja perempuan sewaktu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

“Saya betul-betul perlukan bantuan semua rakyat Malaysia. Pada pukul 6.52 petang, dia maklumkan sudah dalam perjalanan balik dari tempat kerjanya dengan menggunakan MRT.

“Kali terakhir mesej kepada ibunya iaitu pada pukul 7.38 petang, dia memaklumkan berada di stesen Maluri,” katanya.

Aminahtul juga mendedahkan bahawa laporan polis yang dibuat pada awalnya tidak diterima susulan kes kehilangan belum cukup tempoh 24 jam. – MalaysiaGazette 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here