Tangkap layar video tular tumpahan minyak sawit daripada lori tangki terbabas di Lipis hari ini

KUANTAN – Tiada loji rawatan air (LRA) terkesan susulan kejadian lori tangki muatan minyak sawit terbalik ke dalam sungai bersebelahan jalan di kilometer 2, Jalan Benta-Jerantut, Lipis pagi tadi.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pahang berkata, hasil siasatan mendapati lori berkenaan yang membawa minyak sawit mentah (CPO) terbabas dan sebahagian tangki lori berkenaan telah masuk ke dalam Sungai Teka.

“Pemeriksaan mendapati terdapat tumpahan CPO dan telah dihentikan serta merta oleh pihak transporter lori di mana anggaran CPO yang telah tumpah adalah sebanyak 8 hingga 12 tan iaitu 20 peratus ke 30 peratus dari kapasiti penuh tangki iaitu 40 tan,” katanya.

Tambah JAS, pihaknya turut memeriksa bahagian hilir sungai lokasi kejadian dan mendapati tiada lagi kesan minyak sawit mengalir ke kawasan hilir sungai iaitu di Sungai Lipis.

Bagaimanapun, katanya tindakan pembersihan tumpahan minyak dan mengeluarkan tangki lori sedang dijalankan oleh pihak transporter dan syarikat pemilik CPO berkenaan di lokasi kejadian dan kawasan sungai yang terlibat.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man memberitahu, lori tangki tersebut membawa muatan minyak sawit seberat 42 tan dari kilang sawit Felcra Jaya Putra, Kampung Damak, Jerantut menghala ke Semenyih, Selangor.

Namun, apabila sampai di tempat kejadian, lori tangki dipandu lelaki berusia 36 tahun itu telah hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.

Ia kemudian melanggar sebatang tiang elektrik milik TNB dan menyebabkan tangki lori yang berisi minyak sawit itu tergolek masuk ke dalam anak sungai bersebelahan jalan tersebut. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Pemandu cedera, treler terbabas terjunam dalam anak sungai 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here