UM dan DVS memeterai MoU kerjasama penyelidikan dan pembangunan teknologi pembiakan haiwan ternakan untuk tempoh selama 10 tahun.

SERDANG- Universiti Malaya (UM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) bagi kerjasama penyelidikan dan pembangunan teknologi pembiakan haiwan ternakan untuk tempoh selama 10 tahun iaitu dari tahun 2024 hingga 2034, baru-baru ini.

Memorandum ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua belah bagi kolaborasi pertukaran kepakaran dan teknologi dalam bidang teknologi pembiakan berbantu dan bidang genetik yang mana DVS berhasrat untuk melaksanakan program kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi pembiakan haiwan ternakan sebagai strategi untuk meningkatkan kadar pengeluaran ternakan bagi menjamin sekuriti makanan negara.

Universiti Malaya melalui Pusat Penyelidikan Bioteknologi Glami Lemi (PPBGL) di Jelebu, Negeri Sembilan akan menyumbang kepakaran melalui tenaga akademik dan penyelidiknya dalam bidang genetik bagi membantu insitusi penyelidikan veterinar negara manakala UM akan menerima kemahiran, akses teknologi dan pengalaman DVS dalam penggunaan teknologi pembiakan haiwan ternakan khususnya ruminan kecil.

Persetujuan kerjasama ini adalah lanjutan daripada lawatan UM ke Institut Biodiversiti Veterinar Kebangsaan (IBVK) di Jerantut, Pahang dan lawatan IBVK ke PPBGL pada tahun 2022.

Jalinan kerjasama strategik antara UM dan DVS akan membolehkan kedua-dua belah pihak melaksanakan program penyelidikan dalam bidang pembiakan ternakan yang terancang bagi mengeksploitasi bahan genetik dan meningkatkan kualiti genetik ternakan berpotensi komersil.

Skop program penyelidikan merangkumi aspek bioteknologi, teknologi pembiakan ternakan dan kajian molekular.

Kerjasama erat yang berterusan antara UM dengan DVS akan membolehkan program konservasi ternakan ruminan dibangunkan dengan lebih tersusun dan terancang bagi menghasilkan impak yang positif kepada industri ruminan dan sekuriti makanan negara.

UM dan DVS juga akan mempunyai akses yang sama terhadap kerjasama di pusat penyelidikan UM dan DVS seluruh Malaysia yang melibatkan pembangunan teknologi haiwan ternakan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here