KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh sinis terhadap kenyataan terbaharu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mencetuskan perdebatan berhubung pendiriannya mengenai identiti Melayu.
Dakwanya, Muhyiddin berubah pendirian disebabkan kepentingan kuasa politik.
“Benarlah kata orang, demi kuasa manusia berubah. Moga Allah pelihara perjuangan yang ikhlas demi agama, bangsa dan tanah air ini, serta lindungi kita daripada mereka yang mempergunakan agama dan bangsa demi kepentingan diri sendiri,” katanya penuh sindiran.
Semasa Festival Perpaduan India anjuran Parti Rakyat India Malaysia, Muhyiddin berkata: “Saya pernah kata saya Melayu terlebih dahulu. Itu tak penting lagi, saya seorang Melayu yang prihatin dengan semua rakyat Malaysia”.
Ahli Parlimen Pagoh itu menambah, meskipun dirinya seorang Melayu, pemikirannya tidak terbatas kepada kaum itu semata-mata.
Mengulas lanjut, Dr. Akmal menegaskan beliau akan terus berpegang teguh pada prinsip mendahulukan bangsanya dalam perjuangan politik.
“Saya tetap Melayu dahulu sebelum Malaysia, kerana itu bangsa saya – yang tidak boleh diubah, dulu, kini dan Insya Allah selamanya,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















