Hospital Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Kementerian Kesihatan (KKM) telah meluluskan projek pembinaan Blok Klinik Pakar dan Wad serta Blok Baru Perkhidmatan Stem Sel di Hospital Pulau Pinang.

Pengarah Hospital Pulau Pinang, Dr. Goh Hin Kwang berkata, projek tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan serta menampung peningkatan keperluan rawatan perubatan di negeri ini.

Jelasnya, pembinaan Blok Klinik Pakar dan Wad serta Blok Baru Perkhidmatan Stem Sel itu akan mengambil masa antara empat hingga enam tahun untuk disiapkan daripada tarikh serahan tapak.

“Sehubungan dengan itu, terdapat beberapa perubahan yang perlu dilakukan termasuk aliran trafik di sekitar hospital serta penyusunan semula tempat letak kenderaan bagi orang awam dan kakitangan.

“Pihak hospital memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul akibat perubahan ini dan orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam atau e-hailing bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas.

“Pengunjung juga diingatkan agar tidak meletakkan kenderaan di kawasan larangan yang boleh mengganggu aliran trafik,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Tambah beliau, pihaknya berharap dengan adanya projek pembangunan itu Hospital Pulau Pinang dapat menyediakan kemudahan kesihatan yang lebih baik dan berkualiti untuk manfaat penduduk Pulau Pinang serta kawasan sekitar pada masa hadapan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here