Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof melihat pertunjukan persembahan silat di Karnival Jejak Seni Budaya Malaysia Madani 2024 di Lanai@Matic, Kuala Lumpur
Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof melihat pertunjukan persembahan silat di Karnival Jejak Seni Budaya Malaysia Madani 2024 di Lanai@Matic, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Jejak Seni Budaya Malaysia Madani adalah satu platform untuk mengukuhkan perpaduan masyarakat, memelihara warisan kebudayaan serta membina kesedaran yang mendalam tentang betapa pentingnya seni, budaya dan sukan tradisional dalam kehidupan seharian.

Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Pengurusan Acara Budaya dan Warisan Malaysia, Nor Zaily Hasjadi, kejayaan penganjuran Karnival Jejak Seni Budaya Malaysia Madani yang telah berlangsung pada 27 hingga 29 September lalu di Lanai@Matic merupakan sebahagian daripada inisiatif persediaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, yang menekankan keharmonian sosial dan identiti kebangsaan melalui seni, budaya, dan warisan.

“Pelbagai acara dijalankan antaranya aktiviti yang memupuk semangat kebersamaan dan menghargai kekayaan warisan Malaysia seperti Perhimpunan Perguruan Silat Bersama Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Perhimpunan Persatuan Kompang Fatani, Perhimpunan Komuniti Rugbi, Jualan Agro Madani, makanan dan minuman tradisional serta persembahan kebudayaan dan kesenian termasuk tarian tradisional, muzik rakyat dan persembahan nyanyian yang memaparkan kekayaan warisan budaya negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Program Jejak Seni Budaya Malaysia Madani mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof.

Dalam pada itu, Nor Zaily berkata acara itu turut mensasarkan penglibatan aktif golongan belia sebagai pelapis seni dan budaya Malaysia, agar mereka dapat mewarisi dan terus melestarikan tradisi dan identiti kebudayaan negara.

“Budaya warisan adalah akar identiti sesebuah bangsa, mencerminkan sejarah, nilai-nilai, dan cara hidup masyarakat terdahulu.

“Ia menjadi penghubung antara generasi lama dan baru, membina rasa bangga dan cinta kepada negara. Warisan budaya juga penting untuk mengekalkan keunikan dan kepelbagaian bangsa Malaysia dalam dunia yang semakin global dan homogen,” katanya lagi.

Ujar beliau, memelihara dan mempromosikan budaya dapat menyumbang kepada ekonomi melalui sektor pelancongan budaya serta memperkukuh perpaduan di kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Nor Zaily berkata, untuk memastikan nilai-nilai budaya dihayati setiap lapisan umur, usaha bersepadu perlu dilakukan melalui pendidikan formal dan tidak formal.

Katanya, di sekolah, subjek seni budaya boleh diperkukuh dan aktiviti ko-kurikulum yang melibatkan seni tradisional perlu dijalankan.

“Penglibatan komuniti juga penting, seperti melalui program seni yang melibatkan pelbagai generasi, festival budaya, dan bengkel-bengkel interaktif. Media sosial dan platform digital juga boleh digunakan untuk menyampaikan maklumat tentang budaya kepada generasi muda dalam bentuk yang menarik dan mudah difahami.

“Selain itu, insentif kepada usahawan budaya yang mempromosikan warisan melalui produk atau perkhidmatan kreatif juga boleh membantu mempopularkan nilai-nilai budaya.

“Saya berharap acara ini dapat memperluaskan lagi kesedaran dan penghargaan masyarakat terhadap seni dan budaya warisan Malaysia, melibatkan lebih ramai peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dan generasi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here