Anggota bomba memadamkan sebuah kereta yang terbakar di Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, Tangkak, malam tadi

TANGKAK – Dua lelaki berdepan detik cemas selepas kereta dinaiki terbakar di Kilometer 169.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 malam, pemandu dan penumpang kereta Toyota Corolla Altis itu sempat keluar dan melarikan diri sebelum meminta bantuan pihak bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz berkata, kedua-dua mangsa berkenaan berusia lingkungan 40-an dan merupakan warga tempatan.

“Apabila pihak bomba tiba mendapati kebakaran telah memusnahkan 95 peratus daripada keseluruhan kereta tersebut.

“Kebakaran berlaku semasa kenderaan sedang bergerak, namun pemandu dan penumpang berjaya keluar dari kenderaan sebelum api marak sepenuhnya.

“Pihak bomba bertindak memadamkan kebakaran menggunakan satu salur bantu mula dan air pam jentera sehingga api dipadamkan sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Katanya, usaha memadam kebakaran melibatkan sembilan anggota diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Azli Hashim dari BBP tersebut.

“Mereka dibantu sebuah jentera pemadam (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” tambah Rafiah.

Beliau memberitahu, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Terdahulu ujarnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.13 malam manakala operasi tamat pukul 11:59 malam.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here