Feri ikon-ikon Pulau Pinang ditunda dari Bagan Dalam Slipway, Butterworth ke Swettenham Pier Cruise Terminal di Geoge Town.

BUTTERWORTH – Feri ikonik Pulau Pinang yang dihentikan perkhidmatannya sejak Disember 2020 bakal dihidupkan semula dalam bentuk muzium terapung pertama di Asia.

Transformasi tersebut bukan hanya sekadar tarikan pelancong tetapi juga usaha penting untuk memelihara warisan sejarah Pulau Pinang yang terkenal dengan perkhidmatan ferinya sebelum kewujudan jambatan.

Penang Ferry Museum dalam satu kenyataan  berkata, muzium ini akan ditempatkan di perairan Selat Pulau Pinang, berhampiran Tanjung City Marina di George Town dan dijangka beroperasi pada penghujung tahun ini.

“Feri berwarna kuning tersebut sedang menjalani proses pengubahsuaian, yang kini telah mencapai 70 peratus sebagai usaha untuk mengembalikan kemegahan feri yang pernah menjadi nadi pengangkutan di Pulau Pinang.

Proses menunda feri tersebut bermula jam 12.30 tengah hari hingga 2.15 petang tadi.

“Feri dua tingkat seberat lebih 100 tan ini pernah mengalami kerosakan teruk dan separa tenggelam di Bagan Dalam Slipway, Butterworth pada tahun 2021 sebelum diselamatkan oleh syarikat Printhero Merchandise Sdn Bhd,” katanya hari ini.

Usaha pemulihannya dianggap penting kerana feri tersebut berusia 68 tahun dan memainkan peranan besar dalam sejarah pengangkutan Pulau Pinang.

Terdahulu, orang ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan proses penundaan feri tersebut ke Swettenham Pier Cruise Terminal di George Town.

Rata-rata yang menyaksikan detik bersejarah itu menyifatkan feri ikonik itu sebagai simbol penting dalam menghubungkan sejarah lampau sambil mengekalkan sebahagian daripada identiti Pulau Pinang.

Untuk rekod, feri ikonik ini yang sebelum ini digunakan untuk membawa penumpang serta kenderaan dihentikan perkhidmatannya pada 1 Januari 2021 dan digantikan dengan feri yang moden.

Namun, usaha menjadikannya muzium terapung menggariskan komitmen untuk memelihara kenangan bersejarah perkhidmatan feri Pulau Pinang yang telah lama menjadi ikon.

Sebahagian feri-feri ikonik lain telah dilupuskan kerana faktor telah usang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast