MELAKA – Seorang pengasuh wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan seorang bayi lelaki berusia setahun sehingga menyebabkannya mengalami cacat kekal fizikal dan hilang penglihatan.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Taman Pertam Jaya, Semabok di sini tahun lalu.

Tertuduh, Siti Salwa Rezuan, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan iaitu pengasuh kepada seorang bayi lelaki berusia setahun ketika kejadian telah mengabaikan atau mendedahkanya dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah Taska di Taman Pertam Jaya, Semabok dalam daerah Melaka Tengah kira-kira 2.30 petang 27 Oktober 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak lebih RM50,000 mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM20,000.

Peguam Mohd. Nazri Abd. Hamid yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pengasuh bergaji bulanan RM1,700 selain suami hanya seorang operator kilang.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Rohatul kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Hakim turut menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sekali setiap bulan di balai polis berhampiran dan tidak mendekati atau menganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula 14 November ini.

MalaysiaGazette pada 1 November tahun lalu melaporkan seorang bayi lelaki Muhammad Noah Muhammad Azizan, 1, kritikal dan tidak sedarkan diri sehingga terpaksa ditahan di zon merah Hospital Melaka kerana mengalami pendarahan di kepala.

Kejadian disedari bapa bayi berkenaan yang dihubungi pemilik taska pukul 9.30 pagi memaklumkan mata anak sulungnya itu tiba-tiba menunjukkan tanda seperti diserang sawan ketika sedang mandi.

Pemilik taska mendakwa kecederaan berlaku selepas bayi lelaki itu terjatuh dari kerusi bouncer dan terlanggar kerusi.

Selepas setahun kejadian, bayi berkenaan yang dilahirkan sempurna mengalami cacat kekal fizikal, buta dan terlantar sehingga terpaksa makan dan minum mengggunakan tiub. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here