TEHRAN – Iran akan melakukan ‘tindak balas yang lebih teruk selain kehancuran’ jika rejim zionis Israel melakukan kesilapan kecil terhadap negara itu.
Presidennya, Masoud Pezeshkian yang mengkritik negara barat melakukan janji kosong berkata, mereka meminta Iran membataskan tindak balas terhadap Israel berikutan pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran Julai lalu menerusi gencatan senjata dan menamatkan genosid di Gaza.
“Jenayah rejim zionis yang berterusan membuatkan angkatan tentera Republik Iran menetapkan tindakan balas,” katanya.
Beliau mengutuk kekejaman Israel di Gaza dan Lubnan selain Amerika Syarikat (AS) dan negara barat yang mendakwa juara demokrasi dan hak asasi manusia tetapi menyokong rejim zionis.
Katanya, negara tersebut memperkatakan tentang maruah manusia tetapi dalam masa sama terlibat menyokong satu rejim jenayah ketika mereka begitu asing dengan konsep tersebut.
“Nyawa manusia, khususnya wanita dan kanak-kanak tiada nilai buat mereka dan semua dakwaan mereka adalah dusta,” tambah beliau.
Berikutan itu, Pezeshkian yang menggesa negara-negara Islam bersatu memberitahu, perpecahan dalam kalangan mereka membolehkan Israel terus melakukan jenayah di Palestin dan Lubnan.
“Jika Muslim bersatu, rejim zionis tidak berani melakukan jenayah ini,” ujarnya.
Pada Selasa lalu, Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas kemudahan tentera dan perisikan Israel dalam operasi tindak balasnya yang menyebabkan siren dibunyikan di beberapa kawasan di wilayah Palestin yang dicerobohi Israel.
Suar dan peluru berpandu boleh dilihat di ruang angkasa Tel Aviv dengan letupan dilaporkan di kawasan lain.
Operasi yang dilakukan Iran itu merupakan tindak balas kepada pembunuhan beberapa pemimpin utama, termasuk Haniyeh, Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah dan Timbalan komander Pengawal Revolusi Iran, Abbas Nilforoushan. – Agensi