GEORGE TOWN – Dua remaja tular yang menjadi mangsa penderaan ibu bapa angkat mereka dalam kejadian di Paya Terubong di sini telah diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang pada Ogos lalu.

Pengarah JKM negeri, Zakaria Taib berkata, remaja lelaki dan perempuan yang masing-masing berusia 13 tahun itu diselamatkan selepas pihaknya menerima laporan daripada pihak berkuasa.

Jelas beliau, pasangan lelaki berusia 64 tahun dan isterinya, 65, yang terlibat kes dera dua remaja itu telah pun dihadapkan ke mahkamah.

“Berdasarkan rekod kita, ini merupakan kali kedua kanak-kanak itu menjadi mangsa dera keluarga angkat mereka.

“Kali pertama mereka diselamatkan JKM pada 2022 namun namun ibu bapa angkat berjaya mendapatkan hak penjagaan kembali selepas membuat perjanjian di mahkamah pada Februari 2023.

“Selepas dibenarkan penjagaan pasangan tersebut dikenakan bon iaitu perlu membawa dan melaporkan perkembangan dua remaja tersebut kepada JKM bagi tempoh setahun dan sepanjang bon itu masing-masing mereka berada dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Bagaimanapun, tambah Zakaria, bagi kejadian kali kedua, pihaknya mendapati dua remaja itu perlu ditempatkan di institusi JKM demi menjamin keselamatan serta kebajikan mereka.

“Selepas insiden kedua, kita telah beri kaunseling kepada dua remaja itu dan kita kini sedang menunggu perintah tetap daripada mahkamah pada 10 Oktober ini untuk menempatkan mereka di institusi JKM,” katanya.

Mengulas mengenai status tular di Facebook seorang wanita mendakwa JKM enggan beri kerjasama untuk melawat mangsa meskipun dia yang membongkarkan kes tersebut, Zakaria menegaskan, undang-undang tidak membenarkan orang luar melawat kanak-kanak di bawah jagaan JKM.

“Wanita itu mahu melawat kedua-dua remaja tersebut namun kita telah terangkan peruntukan undang-undang iaitu hanya waris atau penjaga yang sah saja dibenarkan melawat kanak-kanak yang ditempatkan di bawah JKM,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar menunjukkan dua remaja didakwa menjadi mangsa dera keluarga angkat. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here