TEHRAN – Hezbollah sekali lagi menyasarkan bandar utara Haifa yang diduduki Israel dengan peluru berpandu.
Ia merupakan serangan ketiga ke atas kedudukan tentera di kawasan itu dalam satu hari.
IRNA dalam laporan pagi ini melaporkan, peluru berpandu Hezbollah membedil kawasan berbeza di Haifa, menyebabkan huru-hara dalam kalangan tentera dan penduduk zionis yang menjadi peneroka.
Hezbollah berkata, pangkalan Carmel Israel di Haifa dan lokasi lain terkena peluru berpandu Fadi-1, sambil menambah serangan itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap pencerobohan dan jenayah Israel terhadap orang awam.
Menurut tentera dan media Israel, sekurang-kurangnya 15 peluru berpandu dilepaskan dari selatan Lubnan ke arah utara Palestin yang diduduki, menyebabkan huru-hara dan mencetuskan siren di Haifa dan kawasan sekitarnya.
Rakaman menunjukkan letusan api dan kepulan asap kelihatan di langit Haifa.
Sebuah kawah besar juga kelihatan di antara bangunan tinggi.
Sekurang-kurangnya 10 zionis dilaporkan cedera selepas peluru berpandu terkena sebuah bangunan.
Terdapat juga laporan sebuah restoran di Haifa turut terkena bedilan tersebut.
Sebelum ini, Hezbollah mendakwa berjaya menyasarkan pangkalan tentera zionis di bahagian selatan Haifa.
Secara berasingan, Hezbollah turut mengumumkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera Nimra rejim Zionis, barat bandar Tiberias.
Hezbollah berkata, pangkalan itu disasarkan selaras dengan menyokong rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan penentangan itu bagi mempertahankan Lubnan.
Sebagai tindak balas terhadap pencerobohan kejam Israel terhadap bandar, kampung dan orang awam, Hezbollah turut melepaskan peluru berpandu ke arah Nimra, salah satu pangkalan tentera utama rejim zionis di wilayah yang diduduki utara, tambah kenyataan itu. – Agensi