KUALA LUMPUR – Kanser kolon semakin menjadi perhatian di Malaysia sebagai kanser paling tinggi terjadi dalam kalangan lelaki dan kedua tertinggi dalam kalangan wanita selepas kanser payu dara.

Menurut Pakar Bedah dan Pensyarah, Jabatan Surgeri, Fakulti Perubatan dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nabil Mohammad Azmi, berdasarkan Pelan Strategik Nasional 2021-2025, kebanyakan pesakit didiagnosis pada tahap III dan IV, mengakibatkan rawatan yang lebih mencabar dan prognosis yang kurang baik.

Beliau berkata, gejala awal seperti tinja berdarah, perubahan pola buang air besar, dan sembelit yang berpanjangan harus diambil serius.

Dr. Nabil Mohammad Azmi

“Banyak individu yang mengabaikan tanda-tanda ini sekaligus menyebabkan diagnosis lewat dan komplikasi serius seperti usus tersumbat dan pendarahan dalam usus besar.

“Masyarakat disarankan untuk peka dan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, terutama jika mengalami gejala yang mencurigakan,” katanya.

Beliau berkata, diagnosis kanser kolon biasanya dimulakan dengan perbincangan mengenai gejala dan faktor risiko, termasuk sejarah keluarga, merokok, dan obesiti.

“Proses ini sering diikuti dengan pemeriksaan fizikal dan ujian darah. Ujian kolonoskopi adalah langkah penting dalam pengesahan diagnosis, di mana alat khas digunakan untuk memeriksa usus besar secara menyeluruh.

“Sekiranya kanser dikesan, pakar bedah akan melakukan biopsi untuk mengesahkan kehadiran sel kanser,” ujarnya.

Tambah beliau, rawatan utama untuk kanser kolon adalah pembedahan, yang mana bahagian usus yang terjejas dan kelenjar limfa berdekatan akan dibuang.

Pembedahan ini dilakukan melalui bius penuh, dan pesakit biasanya perlu dimasukkan ke hospital untuk pemantauan sebelum dan selepas prosedur.

Proses pemulihan boleh mengambil masa, bergantung kepada tahap kanser dan keadaan kesihatan pesakit,” ujar beliau.

“Bagi sesetengah pesakit, kemoterapi mungkin disarankan selepas pembedahan, terutama bagi mereka yang berisiko tinggi mengalami kanser berulang,” katanya.

Dr.Nabil berkata, rawatan kemoterapi bertujuan untuk mengurangkan risiko penyebaran kanser ke organ lain dan meningkatkan jangka hayat pesakit.

Namun katanya, tidak semua pesakit memerlukan rawatan itu kerana keputusan dibuat berdasarkan perbincangan antara pakar bedah, pakar onkologi, dan pesakit.

Beliau turut mengulas, saringan awal adalah langkah pencegahan yang sangat disarankan untuk individu berusia antara 50 hingga 75 tahun.

Ujian sisa tinja, seperti immunological faecal occult blood test (iFOBT), digunakan untuk mengesan kehadiran darah dalam najis.

“Jika ujian ini menunjukkan hasil positif, individu akan dirujuk untuk menjalani kolonoskopi. Penyelidikan menunjukkan bahawa pengesanan awal dapat mencegah kelewatan diagnosis dan meningkatkan kejayaan rawatan serta kelangsungan hidup,” katanya.

Dr. Nabil turut memaklumkan UKM juga sedang menjalankan inisiatif untuk membangunkan ujian saringan menggunakan darah, yang diharapkan dapat meningkatkan kepekaan pengesanan kanser kolon.

Inovasi ini berpotensi memudahkan akses untuk individu berisiko menjalani saringan, serta mengurangkan stigma dan ketakutan terhadap prosedur pemeriksaan.

Jelas beliau, melalui kempen kesihatan dan informasi yang tepat, rakyat Malaysia dapat memahami bahawa kanser kolon bukanlah hukuman mati.
“Dengan pengesanan awal dan rawatan yang tepat, peluang untuk pemulihan adalah tinggi.

Oleh itu, semua individu diseru untuk proaktif dalam menjaga kesihatan mereka dan mengambil langkah-langkah untuk mencegah kanser kolon,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast