Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang suspek dipercayai menceroboh masuk ke kawasan landasan antara Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni dan Stesen LRT KL Sentral sekitar 7.09 malam semalam.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan berkata, kakitangan Pusat Kawalan Operasi telah mengesan suspek menceroboh kawasan landasan itu menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di platform berkenaan.

Katanya, atas faktor keselamatan serta mengikut piawaian standard operasi (SOP), bekalan kuasa terpaksa dimatikan bagi membolehkan polis bantuan serta petugas stesen masuk ke kawasan landasan untuk mengesan suspek.

“Hasil siasatan mendapati tiada kelibat suspek ditemui setelah pemeriksaan landasan dijalankan beberapa kali oleh kakitangan operasi.

“Suspek dipercayai telah berjaya melarikan diri tanpa dikesan  dan  pasukan Polis Bantuan Prasarana telah membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Dang Wangi bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, kata kenyataan itu, perkhidmatan tren laluan Kelana Jaya kembali pulih sepenuhnya pada pukul 8.01 malam dan kekerapan perkhidmatan tren diselaraskan secara berperingkat.

Tambah Rapid Rail, siasatan menyeluruh akan dijalankan bersama pihak berkuasa bagi menyiasat insiden pencerobohan itu dan langkah keselamatan dapat diperkemaskan bagi mengelakkan kejadian seumpama berulang lagi. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, menerusi hantaran di aplikasi X ramai pengguna perkhidmatan LRT merungut kerana terpaksa menunggu tren dari Stesen Lrt Subang ke Stesen Universiti lebih dua jam. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here