Shahril menyampaikan buku sebagai cenderamata kepada Abu Hassan.

KOTA KINABALU – Sistem kurikulum perlu sentiasa dirombak dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan dunia yang berteraskan teknologi.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr Shahril Yusof berkata, ilmu dan maklumat kini berada di hujung jari
pada hari ini, justeru kurikulum perlu berubah mengikut kemajuan.

“Kita perlu melahirkan sumber manusia yang bekerja dan berkhidmat untuk negara, dan bukan hanya melatih mereka dalam pengkhususan tertentu yang kita ajarkan.

“Pensyarah muda perlu memberi fokus terhadap subjek yang dikuasai oleh mereka agar pelajar yang memiliki nilai untuk berkomunikasi, mampu menyelesaikan
masalah serta dalam masa yang sama menggunakan teknologi terkini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor menyempurnakan pelancaran Minggu Akademia UMS
2024 di Galeri Majlis, UMS baru-baru ini.

Tambah beliau, kurikulum universiti perlu disemak dari semasa ke semasa agar graduan yang bakal dilahirkan oleh universiti tidak terjejas.

“Kita perlu memberi masa kepada pelajar untuk menerokai bidang lain dan bukan hanya perkara yang dipelajari di fakulti. Kita mesti memperbaiki nilai kemanusiaan para pelajar dan tidak terlalu menumpukan kepada sesi pembelajaran dan tugasan sahaja.

“Justeru, penilaian semula kurikulum adalah perlu agar graduan bukan sahaja memiliki pengetahuan asas tetapi mampu berfikir, menyelesaikan masalah dan berkomunikasi dengan baik,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, mantan Naib Canselor Pertama UMS, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Abu Hassan Othman berkongsi pengalaman beliau ketika mentadbir UMS selama sedekad melalui sesi wacana bertajuk “Leading Sustainable Change: The Role of Educational Leadership”, selain turut bersama-sama menyempurnakan simbolik perasmian pelancaran Buku Mewah: 30 Tahun Perjalanan Akademik UMS. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here