MUAR – Seorang mekanik kerugian RM230,000 selepas rumahnya dipecah masuk sebelum wang tunai dan kenderaan mewah miliknya dilarikan dalam kejadian di sebuah taman di Bakri di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian tersebut disedari jiran lelaki berkenaan yang terdengar bunyi mencurigakan dari kawasan rumah mangsa sekitar pukul 9 pagi.
“Mangsa berusia 38 tahun yang berada di tempat kerja bergegas pulang dan mendapati rumahnya dalam keadaan berselerak. Sebuah kenderaan jenis Lexus yang diletakkan di hadapan rumah didapati hilang.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai memecah masuk rumah dan melarikan wang tunai serta kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga tujuh tahun dan juga denda.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga seperti memasang sistem penggera, kamera litar tertutup (CCTV), pengunci tambahan dan memastikan kawasan rumah sentiasa selamat serta dipantau.
“Kerjasama masyarakat amat penting dalam usaha mencegah jenayah dan memastikan kawasan kediaman kekal selamat,” katanya.- MalaysiaGazette
















