Kereta jenis Proton Iriz yang dinaiki sepasang suami isteri hangus ketika cuba melarikan 30 tandan kelapa sawit disyaki hasil curi di Jalan Kampung Bukit Kepok, Jasin, minggu lalu.

JASIN – Sepasang suami isteri nyaris rentung selepas kereta dinaiki membawa 30 tandan kelapa sawit yang disyaki dicuri terbakar di Jalan Kampung Bukit Kepok, di sini minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, kecurian disedari pengadu yang juga polis bantuan di ladang itu apabila mendapati kesan mencurigakan di lereng sempadan kira-kira pukul 5 petang 3 Oktober lalu.

Menurutnya, lelaki berusia 47 tahun itu kemudian membuat pemeriksaan dalam parit sempadan sebelum menjumpai biji sawit yang sudah terlerai namun tidak menjumpai tandannya.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi

“Pengadu kemudian memeriksa dalam ladang dan mendapati  kesan pokok sawit di potong di 21 pokok dengan kehilangan 30 tandan buah sawit dianggarkan bernilai RM500 sebelum membuat laporan polis.

“Hasil siasatan, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Jasin dan Balai Polis Merlimau berjaya menangkap pasangan suami isteri berkenaan masing-masing berusia 26 dan 25 tahun,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kereta jenis Proton Iriz yang dinaiki sepasang suami isteri hangus ketika cuba melarikan 30 tandan kelapa sawit disyaki hasil curi di Jalan Kampung Bukit Kepok, Jasin, minggu lalu. – Ihsan Bomba Melaka

Tambahnya, suspek ditahan di Balai Polis Merlimau kira-kira pukul 11.15 malam Isnin lalu ketika hadir untuk membuat laporan polis berkenaan kebakaran kereta jenis Poton Iriz itu berhampiran lokasi kejadian.

“Kereta berkenaan dipercayai terbakar selepas terbabas akibat membawa lebihan muatan kelapa sawit itu yang dipercayai dicuri berdasarkan penemuan sebilah sabit berhulu besi berukurang panjang kira-kira 12 kaki.

“Hasil semakan mendapati suspek lelaki mempunyai lima rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan satu kes dadah manakala isterinya mempunyai rekod dua kes jenayah dan dua kes narkotik,” katanya.

Tambahya, kedua-dua suspek direman selama empat dan tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here