Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menteri-menteri kabinet serta Ahli Parlimen Pembangkang memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 05 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini yang membincangkan kesan tindakan Amerika Syarikat ke atas ekonomi Malaysia dimulakan dengan penghormatan dan bertafakur kepada Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, Allahyarham merupakan seorang tokoh negarawan, pemimpin yang ulung, berjiwa rakyat dan besar jasa serta sumbangannya kepada negara.

Menurut beliau, pemergian Abdullah merupakan satu kehilangan yang besar, amat dirasai segenap lapisan masyarakat di negara ini.

“Saya dan bagi pihak Datuk Yang di-Pertua Dewan Negara, Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta bagi pihak Parlimen Malaysia seluruhnya mengucapkan setinggi-tinggi takziah kepada seluruh anggota keluarga Allahyarham.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

“Sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarham dan untuk mengenang jasa-jasa Allahyarham, sekarang saya menjemput ahli-ahli yang berhormat dan semua hadirin sekalian berdiri bersama-sama saya,” katanya ketika memulakan ucapan pada sesi pembukaan sidang khas itu di Dewan Rakyat di sini.

Pada 14 April lalu, Abdullah yang juga Perdana Menteri kelima, meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN).

Dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan, Abdullah yang mesra dengan panggilan Pak Lah merupakan pelopor dan pengasas kepada satu konsep baharu dalam pembangunan negara berasaskan kekuatan pembangunan modal insan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast