Kompleks Mahkamah Sepang, Selangor.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebuah kilang kitar semula telah didakwa pada hari ini kerana kegagalan majikan dalam memenuhi tanggungjawab memastikan keselamatan, kesihatan, dan kebajikan pekerja di tempat kerja.

Kilang Best Eternity Recycle Technology Sdn. Bhd (Best Eternity Recycle Technology) ini merupakan tempat kerja pertama yang didakwa selepas berkuat kuasanya Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 pada 1 Jun 2024.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor berkata, kilang kitar semula Best Eternity Recycle Technology telah didapati bersalah atas kegagalan menyediakan sistem kerja selamat dalam pemeriksaan ‘paper roll’, yang mengakibatkan kemalangan maut melibatkan salah seorang pekerjanya pada 10 Ogos 2024 lebih kurang jam 6 petang.

Siasatan oleh JKKP mendapati kilang tersebut melanggar peruntukan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022.

Berikutan pelanggaran ini, JKKP mengambil tindakan tegas dengan mendakwa Best Eternity Recycle Technology di Mahkamah Sesyen Sepang semalam.

Di bawah pindaan terbaharu akta ini, syarikat yang bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara selama dua tahun.

Hakim Mahkamah Sesyen Sepang, Amir Affendy Hamzah, menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM100,000 kepada Best Eternity Recycle Technology, yang diwakili oleh pengurus kilang setelah mengaku bersalah.

“JKPK mengingatkan semua industri agar mematuhi peraturan yang telah digariskan di bawah akta ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau syarikat yang melanggar undang-undang keselamatan dan
kesihatan pekerjaan.

“Penguatkuasaan yang lebih ketat akan diteruskan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja terus dilindungi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here