Khairul Shahril Idrus

KUALA LUMPUR – Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 digubal selari dengan instrumen global iaitu Kerangka Kerja Sendai bagi Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030.

Ini jelas mencerminkan komitmen kerajaan dalam memenuhi agenda global untuk mengarusperdanakan pengurangan risiko bencana dan sekali gus membentuk negara Malaysia yang selamat dan berdaya tahan bencana melalui pencegahan, mitigasi, kesiapsiagaan, tindak balas dan pembinaan semula.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, di dalam dasar ini juga menerapkan aplikasi sains dan teknologi kerana ia amat penting dalam menyokong proses membuat keputusan.

Di peringkat global telah mengenal pasti tujuh sasaran dalam pengurangan risiko bencana iaitu mengurangkan kadar kematian, mengurangkan bilangan mangsa yang terjejas, mengurangkan kadar kerugian ekonomi, mengurangkan kadar kerosakan infrastruktur dan gangguan bekalan asas, meningkatkan negara yang mempunyai strategi untuk pengurangan risiko bencana, meningkatkan kerjasama antarabangsadan meningkatkan keberadaan sistem ramalan awal bencana.

Kesemua sasaran global ini telah diambil kira dalam penggubalan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030.

Menurut beliau, skop bencana yang terangkum dalam dasar ini terpakai untuk risiko semua jenis risiko sama ada bencana bersaiz kecil dan besar, kerap atau langka, cetusan pantas atau perlahan yang disebabkan oleh bahaya alam dan cetusan manusia termasuk berkaitan alam sekitar, teknologi dan biologi.

“Selaku agensi peneraju pengurusan bencana, Nadma sentiasa memastikan langkah-langkah pengurusan bencana yang diambil adalah relevan dengan cabaran semasa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 yang telah dilancarkan pada 3 Oktober lalu bertujuan untuk menjadi rujukan utama dalam menyediakan panduan pengurusan risiko bencana di semua peringkat sama ada nasional, tempatan mahupun merentasi sektor secara menyeluruh.

Matlamat utama dasar ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang selamat dan berdaya tahan bencana dengan mengarusperdanakan pengurangan risiko bencana yang komprehensif dan inklusif ke arah kesejahteraan rakyat dan pembangunan yang mampan.

Dasar ini telah menggariskan empat prinsip, lima teras strategik dan enam sasaran utama dan tindakan untuk digunapakai oleh semua pemegang taruh seperti Kerajaan Persekutuan, negeri, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sebagai panduan dan rujukan utama supaya dapat memainkan peranan masing-masing dengan lebih relevan dan berkesan.

Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 digubal oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara dengan kerjasama Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI-UKM) serta Institut Alam Sekitar dan Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Proses penggubalan merangkumi tujuh bengkel dengan pihak berkepentingan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta survei awam yang melibatkan hampir 1,000 individu.

Khairul Shahril menambah, dengan pengenalan dasar ini, semua pemegang taruh dapat bergerak ke arah satu objektif dari segi strategi dan pendekatan yang sama untuk mengurangkan risiko bencana kepada negara.

Katanya, Nadma berharap agar semua pihak berkepentingan merangka Pelan Tindakan Pengurangan Risiko Bencana peringkat masing-masing dengan memperincikan aktiviti yang akan dilaksanakan, anggaran belanjawan dan sasaran khusus berdasarkan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030.

Pelan tindakan ini harus disemak semula dan dikemas kini secara berkala untuk memantau kemajuan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan. Platform Nasional Pengurangan Risiko Bencana (MyDRR) akan menjadi medium untuk semua pihak berkepentingan melaporkan aktiviti DRR mengikut skop dan tanggungjawab masing-masing. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here