Keadaan Gaza yang musnah diserang Israel.-Foto AFP

TEHRAN – Wakil Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Riyadh Mansour menggesa negara anggota, khususnya Amerika Syarikat (AS) dan Barat supaya menghentikan penjualan dan penghantaran senjata kepada rejim zionis.

“Saya meminta semua negara yang menyokong perjanjian gencatan senjata untuk menyekat Israel dan menghentikan eksport senjata kepada rejim ini,” Mansour dipetik sebagai berkata pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB pada hari Rabu waktu tempatan.

Sambil mengetengahkan jenayah rejim zionis, diplomat Palestin itu berkata, kekurangan hukuman antarabangsa telah memberi peluang kepada Israel untuk meluaskan lingkaran perang dan jenayah.

Mansour juga menyentuh mengenai krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza yang terkepung dan dilanda perang, berkata, nasib penduduk di sana tidak dipedulikan, malah pencerobohan zionis menyasarkan kakitangan perubatan.

Beliau turut menyelar Israel kerana mengancam untuk mengeluarkan dekri dan menghalang aktiviti agensi PBB untuk pelarian Palestin, UNRWA di semua wilayah Palestin yang diduduki.

“Kami menderita disebabkan kelemahan antarabangsa yang tidak boleh memaksa Israel mematuhi resolusi Majlis Keselamatan untuk menghentikan pencerobohan, katanya.

Majlis Keselamatan meluluskan resolusi yang dicadangkan AS mengenai pemberhentian permusuhan di Gaza pada 22 Jun, yang disambut baik oleh Hamas dan diluluskan dengan 14 undi menyokong dan hanya satu berkecuali daripada Rusia. – Agensi

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here