Tan Chong Hee didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Pengarah syarikat berasaskan kayu-kayan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menubuhkan sebuah entiti perniagaan bagi manfaat sendiri tanpa kebenaran mesyuarat agung syarikat.

Tertuduh, Tan Chong Hee, 50, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan lelaki yang telah berumahtangga itu selaku Pengarah Syarikat Kualiti Ayu Sdn Bhd dan Kilang Papan Seong Eng Sdn. Bhd. tanpa persetujuan mesyuarat agung syarikat telah terlibat dalam suatu perniagaan yang bersaing dengan syarikat sama.

Tertuduh telah menubuhkan satu syarikat iaitu Syarikat Nicenco Resources Sdn Bhd bagi mendapatkan secara langsung atau tidak langsung sesuatu manfaat bagi dirinya melalui hasil penjualan kayu-kayan yang berjumlah RM377,990.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah lot di Kampung Selamat, Tasek Gelugor antara 2 November 2020 sehingga 29 Mac 2021.

Bagi kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 218(1)(e) Akta Syarikat 2016 yang boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM3 juta atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh diwakili peguam, C. Hari Prassaad Rao.

Ketika mitigasi rayuan, Hari Prassaad meminta mahkamah memberikan jaminan rendah kepada anak guamnya atas alasan pengadu dalam kes tersebut telah menghantar surat kepada pegawai penyiasat kes untuk menarik semula laporan.

“Anak guam saya memberi kerjasama baik ketika dia direman berhubung kes ini pada Februari lalu selain tangkapan ke atasnya malam tadi sesuatu yang mengejutkan hingga keluarga tidak membuat persiapan wang jaminan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan sebutan semula kes pada 11 November depan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here