Tan kok wai dap
Tan Kok Wai

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai mengekalkan jawatannya selaku Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi penggal 2024-2026.

Tan memperoleh 179 undi sah pada pemilihan itu yang berlangsung sempena Konvensyen Biasa Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 di sini hari ini.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh mendapat undian ketiga tertinggi sebanyak 180 undi, naik daripada ahli jawatankuasa kepada Naib Pengerusi.

Sementara itu, beberapa ahli jawatankuasa lain turut mengekalkan jawatan masing-masing termasuk Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun (Timbalan Pengerusi), Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok (Naib Pengerusi), Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng (Setiausaha), Yap Yee Vonne (Penolong Setiausaha) dan Edmund Teoh Kheng Yaik (Setiausaha Publisiti).

Jawatan Bendahari kini disandang oleh Fong Kok Seng, manakala Allan Lim Ching How dilantik sebagai Penolong Bendahari yang baharu.

Bagi jawatan Setiausaha Organisasi, Lee Bing Hong dipilih untuk penggal ini manakala Lai Chun Chian dan Janice Choo Chen Leece masing-masing dilantik sebagai Penolong Setiausaha Organisasi.

Senarai baharu jawatankuasa bagi 2024-2026 itu dibentuk selepas 15 daripada 22 calon yang bertanding meraih undi tertinggi dalam pemilihan negeri DAP, yang diadakan tengah hari tadi.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng yang menerima undian tertinggi sebanyak 191 undi, meneruskan tugasnya sebagai Setiausaha Negeri manakala Yap Yee Vonne, dengan 189 undi, kekal sebagai Penolong Setiausaha. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here