Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menekankan isu penggunaan rumput cow grass bukan keutamaan tetapi yang penting memastikan permukaan padang dalam kualiti terbaik untuk permainan bola sepak.

Menerusi satu hantaran di platform X, Tunku Mahkota Ismail, yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelaskan, penggunaan cow grass sudah semestinya digunakan negara maju jika ia bagus.

Beliau menambah, padang bola di Laos lebih baik berbanding padang di Malaysia yang masih menggunakan cow grass yang sering menyebabkan padang menjadi berlumpur apabila hujan.

“Saya bukan bercakap soal padang yang cantik tetapi mengenai permukaan permainan yang baik. Kalau cow grass sangat bagus, negara maju sudah pasti menggunakannya.

“Kenapa sukar bagi kita untuk menerima dan belajar daripada mereka yang lebih maju? Malah padang di negara miskin seperti Laos lebih baik daripada kita kerana masalah cow grass ialah permukaan yang tidak sesuai untuk bermain apatah lagi ketika hujan, ia menyebabkan air bertakung kerana padang jenis soil base bukan sand base. Berlumpur. Kita mahu bola sepak maju tetapi pemikiran kita masih tidak berubah.

“Kita mesti mencontohi negara maju dalam bidang bola sepak seperti Jepun dan di Asia Tenggara, Thailand. Laos juga sudah mempunyai padang yang baik sedangkan kita masih bergelut dengan padang berlumpur,” jelasnya.

Tunku Mahkota Ismail berkata demikian sebagai respons kepada seorang pengguna X yang menyatakan cow grass boleh menjadi padang yang cantik jika dijaga dengan baik tetapi mungkin tidak digemari oleh pemain.

Sebelum ini, Tunku Mahkota Ismail menyangkal dakwaan  JDT akan menjadi lemah jika terpaksa bermain di atas padang menggunakan cow grass.

Terdahulu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan geran bernilai RM4.6 juta telah disalurkan kepada 10 negeri bagi proses menaik taraf padang bola sepak dan sistem saliran di stadium.

Sebanyak lapan negeri termasuk Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Melaka menerima geran penuh RM500,000 untuk menambah baik saliran dan menukar rumput di stadium.

Dua negeri iaitu Perlis dan Kedah menerima geran sebanyak RM300,000 untuk menaik taraf sistem saliran manakala Sabah dan Pulau Pinang memilih untuk tidak menukar rumput di stadium masing-masing. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here