KUANTAN – Malam Gema Insan sebagai pembuka tirai Ekspo Konvokenyen 2024 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di kampus Gambang pada Sabtu lalu mendapat sambutan meriah.
Acara dimulai dengan gimik pelancaran Expokonvo disusuli alunan puisi indah yang disampaikan Fynn Jamal atau nama sebenar Nur Affina Yanti Jamalludin.
Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, pemilihan artis dan program sesuai dengan jiwa anak-anak muda bukan sahaja berhibur namun sarat dengan mesej keamanan disampaikan di sepanjang program.
”Acara dapat sambutan dimeriahkan dengan penampilan ikon dalam perjuangan kemanusiaan dan artis popular dipilih dan diuruskan oleh penuntu membariskan Datuk Awie, Naim Daniel, Faizal Tahir dan Fynn Jamal.
”Tahniah kepada pihak penganjur dan pihak UMPSA, kejayaan penganjurannya satu manifestasi dan mesej cukup jelas bahawa anak muda masa kini cukup bertenaga, kreatif dan optimis untuk memimpin apabila mereka diberi pendedahan mengurus program,” katanya.
Kesemua artis yang membuat persembahan berkongsikan pengalaman kerja kemanusiaan juga sarat dengan mesej serta nasihat dalam menuntut ilmu bersama warga dewan menggamatkan suasana selain memberikan persembahan bertenaga.
Hadir sama Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin, dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed.
Sementara itu, Dr Yuserrie berkata, selaras dengan saranan dan aspirasi oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mahasiswa masa kini perlu diberi lebih banyak ruang dan tanggungjawab dalam membuat keputusan semasa kehidupannya di kampus.
Ujarnya, gerakan dan aktiviti mahasiswa di UMPSA telah diberi kebebasan dan kuasa mengurus dan mentadbir dengan bimbingan daripada pelbagai pihak di UMPSA.
“Pelbagai aktiviti menarik dirancang menjelang Majlis Konvokesyen termasuklah Hari Terbuka UMPSA melibatkan reruai kelab, persatuan mahasiswa UMPSA dan agensi-agensi jabatan kerajaan dan bukan kerajaan,” katanya.
Lebih 3000 warga kampus termasuk orang ramai membanjiri Dewan Kompleks Sukan universiti bagi menyaksikan Malam Gema Insan Di Bawah Langit Aman yang diadakan bersempena Ekspo Konvokenyen UMPSA kali ke-19 bagi tahun ini.
Penganjuran Ekspokonvokesyen 2024 (Expokonvo) bermula 12 Oktober dan acara kemuncaknya Majlis Konvokesyen UMPSA yang ke-19 pula diadakan pada 26 hingga 29 Oktober nanti.
Turut berlangsung hari terbuka bagi memberi peluang para mahasiswa tahun satu khususnya dapat meneliti dan berinteraksi dengan lebih dekat bersama wakil kelab dan persatuan badan pelajar aktif yang ada di universiti ini mengikut minat dan keperluan bagi nilai pada diri masing-masing.
Program berkenaan turut dihadiri aktivis kemanusiaan Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang lebih dikenali sebagai Nadir Al-Nuri.
Beliau yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif kepada pertubuhan bukan kerajaan Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) hadir bersama isterinya, Reem Almenawi dan keluarga.
Difahamkan anak kepada aktivis berkenaan dikenali Mushtaha Eman, satu-satunya warganegara Palestin bagi program pra siswazah yang mula mendaftar di UMPSA bagi mengikuti pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Siber) di Fakulti Komputeran di UMPSA. – MalaysiaGazette