Foto FB Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat ASEAN di Malaysia tahun depan akan melibatkan penganjuran tuan rumah oleh semua negeri termasuk di Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi memastikan tiada negeri akan ketinggalan untuk meraih faedah ekonomi daripada status Malaysia sebagai pengerusi persatuan rantau itu.

Menurut beliau, bagi negeri yang tidak mempunyai kapasiti untuk menganjurkan acara besar seperti Kelantan dan Perlis, kerajaan akan cuba mengatur agar mereka menjadi tuan rumah beberapa mesyuarat peringkat kerja atau mengatur perwakilan Asean untuk melawat negeri berkenaan.

“Kita putuskan bahawa semua acara menteri, menteri luar, ekonomi, dan puluhan mesyuarat, malah keseluruhan yang diadakan dengan ratusan pegawai (delegasi negara asing) akan diatur di semua negeri Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Malah saya juga telah memutuskan kerana beberapa negeri umpamanya Perlis atau Kelantan tak mencukupi untuk jadi penganjur, kita akan cuba mengatur supaya ada perbincangan peringkat pegawai ASEAN atau sekurang-kurangnya kunjungan ke negeri-negeri tersebut supaya tak ada negeri yang tertinggal dalam bidang itu,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Shari (PH-Gombak) yang bertanya persiapan Malaysia dan hala tuju sebagai Pengerusi ASEAN 2025 terutamanya dalam konteks ekonomi serta cabaran geopolitik semasa.

Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN kali kelima sepanjang sejarah keanggotaan dalam blok serantau itu iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Baru-baru ini, Malaysia menerima tugas sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025 daripada Laos di mana upacara simbolik serahan tugas kepada Malaysia yang akan bermula pada 1 Januari 2025.

Majlis itu dibuat Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone kepada Anwar Ibrahim ketika di Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan Ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan dan Penyerahan Kepemimpinan ASEAN kepada Malaysia di Laos. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here