Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Johor akan melaksanakan sesi persekolahan pada Isnin hingga Jumaat mengikut sesi persekolahan kumpulan B, bermula 1 Januari tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, perubahan itu mengikut pertukaran cuti hujung minggu Johor daripada Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad.

Langkah tersebut adalah selaras titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berhubung pertukaran cuti hujung minggu Johor itu.

“Pelaksanaan cuti tersebut akan dibuat sebelum cuti penggal persekolahan 2024/2025 berakhir.

“Hasil perbincangan bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor, sesi persekolahan pada Jumaat akan tamat lebih awal pada pukul 12 tengah hari.

“Sementara sesi persekolah belah petang pada hari Jumaat akan disambung pada pukul 2.30 sehingga 6.30 petang,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pertukaran berkenaan melibatkan 583,373 pelajar dan 48,000 guru di negeri ini yang berdaftar bawah Kementerian Pelajaran (KPM).

“Bila sudah diumumkan (pertukaran cuti mingguan Johor pada) 1 Januari 2024, sesi persekolahan jgua kena ikut.

“Jadi ia akan berterusan, mungkin (di peringkat awal) boleh praktikal dulu pada bulan pertama daripada pengurusan pembelajaran dan pengangkutan anak-anak,” katanya.

Menurutnya, hasil mesyuarat berkenaan perkara itu nanti akan dibentangkan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum dibawa kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Tambahnya, pembentangan itu nanti untuk mendapatkan penyelarasan pelaksanaannya.

Isnin lalu, Tunku Mahkota Ismail bertitah agar cuti hujung minggu di negeri ini ditukar kembali kepada hari Sabtu dan Ahad, bermula 1 Januari 2925.

Titah baginda, perkara itu telah mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta mendapat pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Pada 2014, cuti hujung minggu Johor telah ditukar kepada Jumaat dan Sabtu susulan titah Sultan Ibrahim yang menitahkan pertukaran cuti itu.

Selain Johor, negeri yang melaksanakan cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu ketika ini adalah Kedah, Terengganu dan Kelantan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here