Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tidak akan menutup kes kesalahan melibatkan bekas setiausaha politiknya, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador sekiranya terdapat maklumat dan bukti yang kukuh.

Bagaimanapun beliau berkata, selepas dirujuk kepada rekod fail, syarikat yang terkait dengan Farhash itu sebenarnya telah mendapat kelulusan kerajaan terdahulu pada tahun 2022.

Tegas beliau, ketika itu, beliau belum menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta Farhash juga belum lagi menyertai syarikat terbabit.

“Kelulusan kepada syarikat itu semasa kerajaan terdahulu, semasa itu Farhash belum menjadi anggota syarikat tersebut. Ini betul dan ada rekod, ini bukan soal politik.

“Kemudian syarikat berkenaan itu sekarang itu dimiliki oleh Tuanku (Sultan), sebahagian besar sahamnya, ini tiada kena mengena dengan Farhash.

“Kalau ada pun, dia ikut proses tender biasa. Ada perlanggaran, bawa dan saya bicara di Parlimen ini kalau ada kes itu disiasat SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan kalau ada kes, saya langsung tidak menutupnya. Tapi saya tanya kes apa?

“Cuma dikatakan ada kes, kes satu ini bila saya rujuk fail ia memang diluluskan tahun 2022 sebelum saya menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tapi terus dikaitkan kerana dia pernah bekas staf saya dan kurang adil.

“Tapi bagaimanapun andai kata maklumat jelas melibatkan sesiapa pun termasuk Farhash, sila lapor, saya akan pastikan SPRM tidak akan menutup,” tegasnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau sebelum itu bertanya sama ada kerajaan sedia mengambil tindakan perundangan terhadap Bloomberg berhubung dakwaan campur tangan Anwar dalam siasatan SPRM dalam memerangi salah guna kuasa dan rasuah.

Mengulas lanjut, Anwar mengakui laporan ke atas Farhash sudah dibuat namun SPRM harus bertindak atas siasatan yang lebih terperinci.

“Isunya apa, syarikat apa? Kes apa? Saya percaya Yang Berhormat Pasir Mas tahu bahawa yang dikait itu satu syarikat yang melibatkan Tuanku Sultan (Kelantan), tidak melibatkan Farhash.

“Kelulusan kontrak yang dikaitkan itu kelulusan yang dibuat kerajaan terdahulu, kerajaan Yang Berhormat. Bukan kerajaan saya. Tetapi saya tidak mahu panjangkan kerana melibatkan isu-isu remeh bagi saya kerana melibatkan individu, kebetulan empat, lima tahun lalu dia staf saya, maka itu dibangkitkan,” katanya.

Pada Mac lalu, Farhash dilaporkan memiliki pegangan saham terbesar dalam sebuah syarikat yang disenarai pendek untuk projek membangunkan sistem imigresen baharu yang menelan belanja satu bilion ringgit.

Pemimpin PKR berusia 41 tahun itu membeli 15.91 peratus pegangan dalam HeiTech Padu Bhd melalui syarikatnya Rosetta Partners Sdn Bhd.

Menurut Farhash, Rosetta Partners merupakan anak syarikat Mfivesouthsea Sdn Bhd, yang dimilikinya bersama Sultan Kelantan, Muhammad V.

Pembelian dalam HeiTech Padu dilakukan sehari selepas MyEG Services Bhd memperoleh 14.4 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat itu dengan wang tunai RM31.25 juta pada 11 Mac.

Pada hari sama, HeiTech Padu mengumumkan telah menerima lanjutan kontrak selama setahun untuk menyelia Sistem Imigresen Malaysia (MyIMM) bernilai lebih RM13 juta.

HeiTech Padu ialah salah satu daripada tiga syarikat yang disenarai pendek oleh kerajaan untuk membangunkan projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bernilai RM1 bilion bagi menggantikan MyIMM. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here