Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 16 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM52.9 juta kepada kira-kira 1,165 pekebun kecil sawit bagi Program Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) sehingga 14 Oktober lalu.

Menteri Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, peruntukan tersebut melibatkan kawasan penanaman semula sawit seluas 3,378 hektar iaitu kira-kira 8,347 ekar.

Beliau berkata, secara keseluruhan, pihaknya telah menerima permohonan daripada 2,311 pekebun kecil sawit yang merangkumi sekitar 7,699 hektar (19,025 ekar).

“TSPKS 2.0 menyasarkan kawasan tanaman seluas 5,900 hektar (14,579 ekar) untuk tanaman semula sawit bagi tahun 2024,”katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN- Tampin) yang bertanyakan jumlah pekebun kecil yang telah memanfaatkan Program Tanam Semula Sawit sehingga kini.

Mengulas lanjut, Johari berkata, kadar penanaman semula kelapa sawit dalam kalangan pekebun kecil di negara ini masih di bawah paras standard tahunan yang diperlukan.

Malah katanya, penanaman semula sawit melibat 0.2 peratus berbanding standard empat peratus setahun yang diperlukan sehingga menyebabkan penguncupan pengeluaran sawit di negara ini kepada 18.6 juta tan, berbanding melebihi 20 juta tan sebelum ini.

Justeru, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk mengembalikan skim pembiayaan penanaman semula pekebun kecil sawit dalam bentuk geran sepenuhnya, berbanding kaedah sedia ada.

“Saya akan cuba berbincang dengan Kementerian Kewangan, bukan sahaja bagi menambahkan penanaman semula (sawit) tetapi lebih kepada untuk memudahkan pekebun kecil meningkatkan pengeluaran.

“Kita cubalah Yang Berhormat, tunggulah Jumaat ini (pembentangan Belanjawan 2025),” katanya.

Terdahulu Johari memberitahu, untuk tahun ini, Kerajaan telah memperuntukkan RM100 juta (50 peratus geran dan 50 peratus pinjaman) bagi TSPKS 2.0.

Jelasnya, TSPKS 2.0 ini memfokuskan kepada program tanam semula sawit bagi pokok sawit yang tua dan tidak lagi produktif.

“Insentif ini adalah khas kepada pekebun kecil sawit sahaja. Peralihan tanaman getah kepada sawit tidak termasuk dalam skop insentif ini,”ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here