Logo REHDA di Wisma REHDA, Kelana Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 26 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR- Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) bimbang terhadap ura-ura Cukai Warisan (inheritance tax) diperkenalkan semula.

Jelasnya, cukai berkenaan hanya akan membebankan waris terutamanya anak-anak yang berada dalam kategori B40 dan M40 kerana perlu menanggung cukai warisan daripada hartanah pusaka yang ditinggalkan ibu bapa yang kaya.

Presiden REHDA, Datuk Ir Ho Hon Sang berkata, pengenalan semula cukai warisan yang telah dihapuskan sejak tiga dekad lalu akan menyebabkan lebih ramai rakyat Malaysia tidak berminat untuk membeli rumah untuk pelaburan kerana ia lebih berisiko.

“Pemilik baharu hartanah-hartanah tersebut pada akhirnya terpaksa menjual rumah pusaka itu kerana tidak mampu membayar cukai yang dikenakan.

“Mereka seterusnya kehilangan rumah pusaka yang disayangi dan pelaburan yang telah dimulakan oleh ahli keluarga.

“Cukai ini menyebabkan orang ramai tidak lagi meminati pemilikan hartanah jangka masa panjang,” katanya.

Bagaimanapun katanya, REHDA turut mengambil maklum kenyataan yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang menafikan Cukai Warisan akan dilaksanakan semula tahun ini.

“Sekiranya cukai sedemikian mahu dilaksanakan pada masa akan datang, kami berharap hartanah kediaman mendapat pengecualian cukai tersebut,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast