Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 membabitkan kewarganegaraan.

RUU itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat, selepas digulung oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Kelulusan RUU pindaan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan merupakan satu sejarah apabila diadakan undian belah bahagian dengan 206 ahli Parlimen bersetuju, seorang tidak setuju, 14 tidak hadir sementara seorang lagi tidak hadir kerana masih digantung.

Terdahulu, ketika mengakhiri ucapan penggulungannya, Saifuddin berkata, RUU pindaan itu akan menjadi satu undang-undang yang lebih inklusif, lebih adil serta melindungi hak warganegara Malaysia di mana sahaja mereka berada.

“Ini sebahagian inisiatif kita untuk melakukan perkara yang betul terutama pindaan Perkara 14(1)(b) (Perlembagaan Persekutuan) iaitu warganegara menerusi kuatkuasa undang-undang ke atas anak-anak yang lahir diluar negara.

“Biarlah kita beri khabar gembira kepada kaum wanita dan ibu di luar sana. Kita sama-sama menjadi saksi, prihatin terhadap perkara yang sudah lama mereka perjuangkan,” katanya.

Sesi perbahasan RUU itu berlangsung sejak semalam dan bersambung hari ini.

Ia dibahaskan oleh 70 ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang.

Antara aspek tumpuan dibangkitkan ahli Parlimen pada sesi perbahasan semalam dan hari ini berkisar soal penguasaan bahasa Melayu, kehilangan status bernegara atau stateless bagi anak daripada pasangan yang bercerai serta tempoh permohonan diluluskan.

RUU pindaan itu dibentang bagi bacaan kali pertama pada 25 Mac lalu sepatutnya dibahas dań diputuskan pada persidangan pada Julai namun ditangguh ke sesi kali ini.

Pindaan itu antara lain memperuntuk hak sama kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan dengan ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara.

RUU itu antara lain bertujuan meminda Perkara 15 Perlembagaan Persekutuan bagi mengenakan syarat tambahan untuk mempunyai pengetahuan mencukupi dalam bahasa Melayu kepada mana-mana wanita bersuami yang membuat permohonan kewarganegaraan melalui pendaftaran.

Ia juga bagi meminda had umur untuk memohon kewarganegaraan melalui pendaftaran daripada 21 kepada 18 tahun, selaras usia mengundi di negara ini dan takrif kanak-kanak seperti diperuntukkan Akta Umur Dewasa 1971.

Fasal 5 RUU berkenaan bertujuan memasukkan fasal baharu ke dalam Perkara 18 Perlembagaan Persekutuan bagi mengkehendaki individu 18 tahun ke bawah yang memperoleh kewarganegaraan melalui pendaftaran untuk mengangkat sumpah.

RUU itu juga akan meminda Perkara 26 Perlembagaan Persekutuan, memperuntukkan kerajaan boleh melucutkan kewarganegaraan mana-mana wanita warga asing bersuami yang memperoleh kerakyatan jika perkahwinan dibubarkan dalam tempoh dua tahun sejak menerima kewarganegaraan.

Ia antara lain bagi meminda Jadual Pertama berhubung sumpah, selain Bahagian II Jadual Kedua mengenai kanak-kanak lahir dalam Persekutuan dan sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapa rakyat tempatan ketika kelahiran.

Cadangan pindaan Bahagian II Jadual Kedua itu juga memperuntuk hak sama kepada kanak-kanak lahir di luar Persekutuan yang ibunya ketika kelahiran adalah rakyat tempatan untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang.

Seterusnya ia bagi memasukkan seksyen baharu 3 ke dalam Bahagian II Jadual Kedua menghendaki individu berusia 18 tahun ke bawah yang memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang untuk mengangkat sumpah apabila mencapai umur 18 tahun.

Selain itu, ia bagi meminda Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua untuk memperuntukkan kepada kanak-kanak terdampar. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here