Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit dalam dagangan berhati-hati menjelang pembentangan Belanjawan 2025 hari ini, kata penganalisis.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.78 mata kepada 1,643.22 daripada 1,641.44 pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.85 mata kepada 1,643.29.

Suasana pasaran positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 149 berbanding 103 manakala 2,268 kaunter kekal tidak berubah, 1,972 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 86.06 juta unit bernilai RM41.89 juta.

Menurut Hong Leong Investment Bank, berdasarkan pelabur menantikan butiran Belanjawan 2025 hari ini, FBM KLCI dijangka diniagakan mendatar dengan paras sokongan pada 1,606-1,625 dan paras halangan pada 1,650-1,663.

“Ini disokong oleh Wall Street yang positif dan kembalinya aliran masuk asing bersih, kemungkinan beralih daripada pasaran China dan Hong Kong yang mencatatkan lebihan belian,” katanya dalam nota penyelidikan.

Bagaimanapun, katanya prospek terjejas oleh kebimbangan berterusan mengenai potensi konflik serantau di Timur Tengah, dinamik politik menjelang pilihan raya AS (pada 5 November), selain ketidakpastian mengenai langkah-langkah rangsangan China dan pelan pemulihan ekonominya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, YTL Power International dan Genting, masing-masing meningkat 3.0 sen kepada RM3.55 dan RM4.02, MISC naik 6.0 sen kepada RM7.66, CIMB menambah 5.0 sen kepada RM8.21 dan IOI Corporation naik 2.0 sen kepada RM3.79.

Bagi kaunter aktif, TWL Holdings meningkat setengah sen kepada 3.0 sen, AHB Holdings, Yew Lee dan Pegasus Heights, masing-masing tidak berubah pada 4.0 sen, 51 sen dan 1.0 sen, Cape EMS naik setengah sen kepada 33 sen dan Top Glove menambah 1.0 sen kepada RM1.05.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 18.23 mata kepada 12,341.79 manakala Indeks FBM Emas Shariah meningkat 13.68 mata kepada 12,231.14.

Indeks FBMT 100 menambah 18.93 mata kepada 12,044.68, Indeks FBM 70 naik 49.76 mata kepada 17,672.38 dan Indeks FBM ACE naik 1.39 mata kepada 5,093.50.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 22.98 mata kepada 19,487.22, Indeks Tenaga jatuh 0.91 mata kepada 855.39, Indeks Perladangan naik 4.70 mata kepada 7,254.93 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.27 mata kepada 174.96. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here