Yahya Sinwar. Foto IRNA

BAITULMAQDIS – Tentera Israel mendedahkan bagaimana pemimpin Hamas, Yahya Sinwar terbunuh dalam pertempuran selepas dikesan “pergi dari rumah ke rumah” di selatan Gaza.

Rejim zionis itu menyifatkan kematian Sinwar yang berusia 61 tahun itu memberi tekanan terhadap Hamas yang memulakan perang Gaza pada 7 Oktober 2023.

“Tentera Israel mengesahkan selepas mengejar selama setahun, pada hari Rabu, 16 Oktober 2024, tentera kami dari Komando Selatan membunuh Yahya Sinwar, yang merupakan Ketua Hamas di selatan Semenanjung Gaza.

“Askar IDF Briged 828 (Bislach) yang beroperasi di kawasan itu mengenal pasti dan menghapuskan tiga pengganas. Selepas selesai proses pengecaman mayat, boleh disahkan Yahya Sinwar telah dihapuskan,” ,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam satu kenyataan kemudian, jurucakap tentera Laksamana Muda Daniel Hagari berkata, Sinwar terbunuh selepas dikesan bersama dua lagi pejuang di daerah Rafah di wilayah itu.

“Pasukan itu mengenal pasti tiga pengganas yang pergi dari rumah ke rumah dalam pelarian,” kata Hagari pada taklimat.

Pasukan tentera menyerang kumpulan itu, memaksa Sinwar melarikan diri ketika kumpulan itu bersurai selepas ditembak.

“Sinwar melarikan diri seorang diri ke dalam salah satu bangunan dan pasukan kami mengimbas kawasan itu dengan dron – yang anda boleh lihat dalam filem ini – Yahya Sinwar cedera tangannya dalam tembakan,” kata Hagari.

Rakaman dron yang dikeluarkan oleh tentera menunjukkan Sinwar bersendirian di sebuah apartmen yang diletupkan, dengan sebelah tangan cedera parah dan kepala ditutup dengan selendang tradisional, membaling kayu ke arah dron yang menghampiri pada saat-saat terakhirnya.

“Kami mengenal pasti dia sebagai pengganas di dalam sebuah bangunan dan kami menembak ke dalam bangunan itu dan kami masuk untuk mengimbas kawasan itu. Kami menemuinya dengan pistol dan 40,000 ribu syikal. Dia dalam pelarian dan pasukan kami menghapuskannya,” kata Hagari.

Israel menuduh Sinwar sebagai dalang serangan 7 Oktober bersama ketua tentera Hamas Mohammed Deif.

Tentera Israel berkata, Deif terbunuh dalam serangan awal tahun ini walaupun kumpulan Palestin tidak mengesahkannya.

Sinwar pada Ogos menggantikan bekas ketua Hamas Ismail Haniyeh, yang terbunuh di Iran pada 31 Julai.

Serangan Hamas tahun lalu mengakibatkan kematian 1,206 orang di bumi Israel, kebanyakannya orang awam.

Serangan balas tentera Israel di Gaza telah membunuh 42,438 orang, majoriti daripada mereka orang awam, menurut kementerian kesihatan wilayah kendalian Hamas. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast