Mohamad.

GEORGE TOWN – Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang hari ini memutuskan ajaran, amalan, pegangan dan fahaman ahli GISB Holdings (GISBH) dan rangkaian syarikat gabungannya adalah sesat kerana bercanggah serta menyeleweng daripada ajaran Islam.

Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mendapati terdapat beberapa elemen ajaran dan kepercayaan pengikut dalam GISBH menyamai dengan amalan dalam kumpulan Darul Arqam dan Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd yang diwartakan sesat sebelum ini.

Jelas beliau, keputusan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang bersandar maklumat terperinci dan bukti sahih berkaitan GISBH di negeri ini, daripada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Polis Pulau Pinang.

“Ia telah dibincangkan di dalam Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-125 pada 24 hingga 26 September lalu.

“Kita dapati GISBH menyeleweng daripada sudut akidah, antaranya menyakini bahawa Asy-Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi/Syeikh Muhammad Suhaimi tidak mati tetapi ghaib dan akan muncul sebagai Imam Mahdi.

“Mereka juga meyakini amalan bertabarruk atau mengambil berkat, iaitu air basuhan anggota badan pemimpin GISBH dan air rendaman seperti rambut dan janggut pemimpin mempunyai berkat.

“Daripada sudut muamalah ekonomi pula, GISBH mengamalkan ekonomi yang mempunyai unsur perhambaan dan penindasan terhadap mereka yang terlibat serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak dan wanita,” katanya pada sidang media di pejabat JHEAIPP di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohamad berkata, pihaknya akan mewartakan keputusan fatwa ini secepat mungkin bagi membolehkan penguatkuasaan dibuat.

“Kertas laporan akan dibawa dalam mesyuarat pada 24 Oktober ini sebelum diangkat untuk diperkenankan oleh Yang Di-Pertuan Agong.

“Selain itu, kita juga mengharamkan memberi apa-apa kemudahan, sumbangan, pembiayaan, bantuan atau sokongan secara langsung atau tidak langsung kepada sesiapa termasuk pertubuhan, rumah amal serta pusat jagaan bagi tujuan menyebarkan atau mengembangkan fahaman, ajaran atau pegangan yang mempunyai persamaan.

“Justeru itu, mana-mana ahli jemaah GISBH dan orang Islam yang mengamalkan fahaman dan ajaran GISBH wajib bertaubat serta meninggalkan fahaman dan amalan tersebut dengan segera,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here