KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama agensi kerajaan negeri termasuk semua agensi hal ehwal Islam Selangor merangka dan menggerakkan pelan tindakan pemulihan kepada pengikut GISBH termasuk kanak-kanak dan dewasa.
Ia susulan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan rangkaiannya adalah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abd. Aziz Mohd Yusof, pemulihan yang akan dilaksanakan merangkumi perlindungan, bimbingan, pemulihan akidah termasuk melalui proses Istitabah dan kaunseling.
Selanjutnya, MAIS juga menyatakan sokongan yang padu terhadap program rehabilitasi secara sukarela yang ditawarkan oleh Kerajaan Malaysia kepada pengikut atau ahli GISBH dan rangkaiannya baru-baru ini.
MAIS menegaskan program ini adalah selaras dengan fatwa yang telah diwartakan.
“Justeru, MAIS mengalu-alukan kepada pengikut atau ahli GISBH dan rangkaiannya untuk hadir secara sukarela bagi tujuan pemulihan ini.
“Pada masa ini, MAIS dan agensi Islam di Negeri Selangor menyatakan komitmen untuk bekerjasama dan memberi bantuan dari aspek tenaga kerja, kewangan, fasiliti dan kemahiran sebagai sokongan terhadap program pemulihan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Merujuk kepada fatwa yang telah diwartakan ini, fahaman, ajaran, pegangan atau amalan pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya mempunyai elemen-elemen yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah dari aspek akidah dan syariat.
Berdasarkan fatwa tersebut, mana-mana orang Islam di Negeri Selangor adalah dilarang dan diharamkan untuk beramal, berpegang, menjadi pengikut, mengajar, menyebarkan, mengembangkan dan menyokong fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISBH dan rangkaiannya termasuk apa-apa fahaman, ajaran, pegangan atau amalan lain yang mempunyai persamaan dengan amalan GISBH yang telah diharamkan ini.
Selaras dengan fatwa tersebut juga, mana-mana orang Islam yang telah menyertai, mengamalkan atau berpegang kepada fahaman, ajaran, pegangan atau amalan yang telah diharamkan ini hendaklah segera bertaubat dan memohon keampunankepada Allah SWT dan pihak berkuasa yang berkaitan bertanggungjawab untuk melaksanakan pemulihan kepada mereka.
Abd Aziz menambah, masyarakat Islam di Negeri Selangor dinasihatkan untuk menghormati dan tidak melakukan tindakan yang bercanggah dengan fatwa yang telah diwartakan.
Mana-mana orang yang bertindak mengingkari, melanggar atau mempertikaikan fatwa yang telah diwartakan adalah melakukan kesalahan di bawah perenggan 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995. – MalaysiaGazette