Ketua Pengarah Jabatan Hak Ehwal Khas (JASA), Datuk Mohd Puad Zarkashi pada Majlis Mesra Aidilfitri 2017 Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 17 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Bukan sesuatu yang menghairankan sekiranya Pas kembali bekerjasama dengan DAP, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Ini kerana, dakwa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu, Pas akan bekerjasama dengan mana-mana parti demi kuasa dan gelisah apabila tidak lagi duduk dalam kerajaan.

Malah beliau secara sinis berkata, sekiranya mahu segera berada dalam kerajaan, Pas boleh sahaja menyertai Kerajaan MADANI hari ini.

Tambahnya, UMNO juga tidak akan membantah sekiranya Pas mahu menyertai Kerajaan MADANI malah ia juga tidak akan mendatangkan kudis kepada UMNO.

“Saya setuju dengan Ku Li iaitu Pas akan bekerjasama dengan mana-mana parti demi kuasa. Tidak hairan jika Pas-DAP kembali berpelukan.

“Pas sudah ada rekod mengeluarkan apa sahaja fatwa politik yang akan menghalalkan tindak tanduknya. Pas sudah lama prgmatik. Pas gelisah bila tidak lagi duduk dalam kerajaan.

“Kalau mahu cepat, Pas boleh sahaja menyertai kerajaan Madani. UMNO tidak akan membantah. Ia tidak akan mendatangkan kudis kepada UMNO. Luka Bersatu akan tambah dalam,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Beliau mengulas kenyataan veteran UMNO, Ku Li  atau Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang mendakwa Pas sentiasa mengambil pe­luang bekerjasama dengan ma­na-mana parti asalkan memberi keuntungan kepada parti itu.

Seperti dilaporkan sebuah akhbar, Ku Li berkata, ia jelas dalam misi Pas yang bera­ngan-angan menghidupkan kembali gabungan politik Muafakat Nasional yang pernah dimeterai antara parti itu dengan UMNO sebelum ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here