Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak meninggal dunia, manakala abang serta rakannya cedera parah selepas motosikal yang ditunggangi bertembung dengan sebuah van di Kampung Charok Putih di sini, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar, berkata mangsa yang maut merupakan pembonceng di bahagian tengah motosikal yang ditunggang oleh abangnya berusia 10 tahun, sementara seorang lagi rakan mereka yang juga berusia 10 tahun membonceng di bahagian belakang.

“Kejadian jam 3.30 dipercayai berlaku ketika van dinaiki tiga lelaki yang merupakan peniaga pasar malam dalam perjalanan menghala ke Kampung Bandar, manakala motosikal dinaiki ketiga-tiga mangsa dari Kampung Charok Putih menghala ke Kampung Surau.

“Setibanya di lokasi kejadian,, motosikal terbabit dipercayai keluar secara tiba-tiba dari simpang sebelah kiri untuk membelok ke kanan menyebabkan van tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal berkenaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal melambung dan jatuh ke dalam longkang sebelah kanan jalan manakala adik dan rakannya tersepit di bahagian tayar hadapan van.

Beliau berkata, mangsa yang berusia tujuh tahun meninggal dunia di lokasi kejadian  akibat kecederaan parah di kepala, abang mangsa cedera di leher serta luka pada badan, manakala rakan mereka patah kaki kanan dan turut cedera di beberapa bahagian badan.

Bagaimanapun, pemandu van yang berusia 26 tahun mengalami luka di kaki dan tangan, namun dua penumpangnya, masing-masing berusia 46 dan 22 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, untuk proses bedah siasat, sementara dua kanak-kanak yang cedera kini dirawat di Hospital Baling,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here