Bekas Ahli GISBH, Mohamad Adam Rahmad bercakap pada sidang media penjelasan fitnah dilemparkan terhadap mangsa GISBH ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di tentuan akmal shamsul kahar, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 18 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR -Empat puluh peguam daripada 24 firma guaman seluruh negara sedia memberi perkhidmatan percuma kepada semua mangsa GISBH Holdings (GISBH) yang berani tampil ke hadapan.

Peguamcara dan Peguambela, Ainur Rabiatuadawiyah Hassim berkata, gerakan tersebut akan diketuai oleh Mohd Akmal Arif Shamsul Kahar dari Tetuan Akmal Shamsul Kahar & Co dengan kerjasama aktivis Mona Din dan Caprice sejak Julai lalu.

“Tujuan pertama kita adalah mahu mengetengahkan suara mangsa yang mereka ceritakan kepada kami sebelum ini, kedua, kita mahu mangsa lain masih belum tampil ke hadapan dan berikan bantuan untuk membawa kes ke mahkamah sivil.

“Ketiga, kita mahu menangkis serangan dan fitnah yang telah dibuat orang ramai yang membela GISBH daripada terus melakukan perkara itu kepada mangsa.

“Sebelum kes ini (pendedahan GISBH), sudah ada mangsa tampil dan setakat ini kira-kira 10 mangsa sudah hubungi kami dengan menceritakan pengalaman mereka dan keluarga sepanjang hidup dengan GISBH.

“Untuk makluman, semua mangsa akan diwakili peguam secara pro bono (percuma) jadi apabila mereka tampil ke hadapan kita akan bantu dan tiada kos dikenakan kerana ia sebahagian daripada bakti kepada masyarakat,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Tambah Ainur Rabiatuadawiyah, pihaknya akan menggunakan saluran undang-undang bagi memastikan mangsa mendapat hak untuk hidup sebagai manusia normal.

“Kita ada beberapa undang-undang akan digunakan yang paling utama adalah di bawah Akta Perlembagaan Persekutuan bagi mendapat hak untuk hidup, kebebasan bergerak.

Selain itu, kita akan gunakan Akta Kanak-Kanak 2012, Akta Kerja 1955 dan Akta Fitnah 1957 serta akta yang bersesuaian untuk membantu dan membela mereka kerana banyak undang-undang dilanggar GISBH.

“Jadi kita minta dan mahu lebih ramai tampil kerana kita tahu mangsa belum ke hadapan kerana pelbagai faktor termasuk bimbang diugut dan sebagainya,” jelasnya.

Pada masa sama ujarnya, hasil laporan diterima daripada mangsa, pihaknya mengesan terdapat beberapa kelemahan dikesan dalam pengurusan GISBH.

“Kelemahan utama GISBH terletak pada ketakutan mereka terhadap kerjasama mangsa untuk tampil ke depan, berani mendedahkan dan mendapatkan perlindungan.

“Jadi sebab itulah gerakan ini sangat sensitif dengan tindakan pemberontakan lantas mempertegas kerahsiaan syarikat dalam kalangan ahli.

“Rupa-rupanya ugutan, ancaman serta hasutan yang mereka pasakkan pada ahli tidak lebih dari sekadar satu strategi untuk mewujudkan ilusi ketakutan terhadap mangsa supaya tidak berani melakukan aduan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ainur Rabiatuadawiyah yakin angka mangsa yang belum dikenal pasti akan bertambah dan meminta mangsa GISBH segera tampil bagi menuntut keadilan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here