Farhan Ashari

JOHOR BAHRU – Semua pihak perlu menghormati perubahan cuti hujung minggu Johor daripada Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad yang akan dilaksana mulai 1 Januari 2025.

Yang di-Pertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Johor, Farhan Ashari berkata, perubahan itu pasti sudah diteliti kerajaan negeri dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Lagi pun, bekerja pada hari Jumaat bukan perkara baharu bagi Bangsa Johor kerana sebelum 2015, cuti hujung minggu adalah pada Sabtu dan Ahad,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, katanya, ABIM Johor mencadangkan tiga perkara yang boleh dilaksanakan pada Jumaat.

Pertama, katanya, memperkasa semula Program Semarak Al-Quran di setiap jabatan dan agensi kerajaan serta swasta seperti yang termaktub dalam Fasal 57 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.

Kedua, katanya, pihak berkuasa dan pentadbir jabatan, institusi dan agensi kerajaan serta swasta diminta agar memberi masa yang munasabah untuk pekerja lelaki menunaikan solat Jumaat termasuk waktu rehat dan makan tengah hari.

“Justeru, bagi menyantuni kesemua Bangsa Johor yang berbilang agama, bangsa dan kaum, dicadang agar kerajaan negeri dapat memperuntukkan program khas berbentuk perpaduan, keharmonian dan budaya damai kepada warga bukan Islam termasuk wanita pada waktu tersebut,” katanya.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sebelum ini bertitah, mengumumkan perubahan hari cuti hujung minggu Johor itu yang mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Bermula 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim telah mengubah cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan Agama Islam sebagai agama rasmi Johor.

Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula tahun 1994 apabila ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here