Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) telah mengadakan Misi Bantu Ummah kepada mangsa banjir di Kedah baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) telah mengadakan Misi Bantu Ummah kepada mangsa banjir di Kedah baru-baru ini.

Misi berkenaan dilakukan dengan kerjasama ZUS Coffee, Cinta Gaza Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Waqaf Malaysia.

Mereka telah mengedarkan bantuan foodpack, perkhidmatan mobile kitchen dan perkhidmatan cuci rumah bagi membantu penduduk yang terjejas bencana banjir.

“MAPIM telah menggerakkan lebih 100 kotak bantuan awal dan 500 masakan panas di Kampung Baru, Siong sebagai sebahagian daripada lokasi-lokasi Jelajah Peduli Ummah yang telah dijadualkan pelaksanaannya antara bulan Oktober hingga Februari tahun depan.

“Bantuan telah disampaikan ke rumah penduduk yang terjejas dan ada yang di antaranya rumah telah kembali ditenggelami air rentetan banjir berulang yang melanda kawasan Siong,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MAPIM, Faris Hussain berkata, bencana banjir tahun ini berlaku sedikit awal daripada tahun sebelum ini.

“Kami akan berusaha memberi bantuan, mengikut kepada keperluan semasa mangsa-mangsa banjir, melalui kerjasama sukarelawan MAPIM Rangers yang berada di kawasan-kawasan yang terkesan.

“Sayap sukarelawan kami ini senantiasa memberikan maklumat terkini untuk dikoordinasikan penyaluran bantuan dan perkhidmatan yang sesuai,” ujarnya.

MAPIM menyeru rakan NGO yang lain untuk turut serta membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir di kawasan yang terkesan teruk akibat kenaikan paras air sungai yang bertembung dengan fenomena air pasang luar biasa ketika ini.

Perkhidmatan pasca banjir seperti cuci lumpur dalam rumah adalah antara kerja yang amat diperlukan buat masa ini.

“Kami di MAPIM masih meninjau keadaan di seluruh negara melalui sistem bersepadu agar koordinasi bantuan dapat dilaksanakan secara berkesan”, ujarnya.

Setakat hari ini, MAPIM telah menyalurkan bantuan perkakasan cuci rumah kepada lebih 200 rumah di kawasan Baling, dan Alor Setar.

MAPIM kini bergerak ke Gerik sebagai lokasi yang seterusnya bagi penyaluran bantuan banjir. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here